Subaru Forester generasi baharu telah pun membuat kemunculan sulungnya di New York Mac lalu, manakala untuk pasaran Jepun, SUV tersebut telah pun dihasilkan dalam versi e-Boxer iaitu model yang diberikan unit janakuasa hibrid.

Walaupun diberikan bantuan motor elektrik yang disuap oleh bateri lithium ion, Forester e-Boxer ini sebenarnya masih mengekalkan DNA Subaru iaitu dengan penggunaan enjin bentangan boxer empat-silinder bersama sistem pacuan semua roda. Bagaimana sistem berkenaan beroperasi?

Sistem tersebut masih lagi menggunakan enjin petrol NA 2.0 liter dari siri FB (FB20) bersama suntikan bahan api terus yang mampu menghasilkan 145 PS dan tork maksima 188 – atau sedikit kurang berkuasa dari FB20 pada XV yang menjana 156 PS/196 Nm. Namun kuasa yang berkurangan tersebut mampu ditampung oleh motor elektrik berkuasa 13.6 PS/65 Nm yang dipadankan secara bersepadu dengan kotak gear Lineartronic CVT pada SUV ini.

Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion yang terletak di bawah lantai ruang kargo belakang (tanpa menjejaskan bentangan sistem pacuan semua roda) dan akan dicas semula ketika membrek. Bateri tersebut secara tidak langsung mengurangkan kapasiti but Forester ini dari 520 liter pada versi petrol sepenuhnya kepada hanya 509 liter.

Walau bagaimanapun, sistem berkenaan jelas memberikan kelebihan kepada penggunaan bahan api di mana Forester e-Boxer ini mencapai bacaan penggunaan bahan api 18.6 km untuk setiap liter petrol dalam ujian kitaran JC08 Jepun.

Ini dapat dicapai kerana menerusi sistem berkenaan, Forester e-Boxer mampu bergerak dengan hanya kuasa elektrik tanpa enjin petrol hidup pada kelajuan rendah, namun dalam jarak yang terhad. Untuk kelajuan pertengahan pula, enjin petrol akan beroperasi dengan beban yang lebih rendah dari biasa kerana dibantu dengan operasi motor elektrik bagi menggerakan SUV ini. Manakala pada kelajuan tinggi, hanya enjin petrol beroperasi sambil mengecas semula bateri sistem hibrid.

Subaru Forester generasi baharu ini dibina berasaskan Subaru Global Platform baharu, sama seperti XV dan juga Impreza generasi terkini. Platform berkenaan sememangnya telah pun direka bagi memuatkan sistem hibrid tersebut, dan turut tidak bermasalah bagi menggunakan sistem hibrid plug-in (PHEV) mahupun elektrik sepenuhnya.

Untuk pengetahuan anda juga, sistem hibrid pada Forester ini bukanlah sistem hibrid pertama dari Subaru di mana sebelum ini mereka telahpun memadankan sistem yang hampir sama pada XV, tetapi menggunakan enjin FB20 tanpa sistem suntikan bahan api terus, manakala bateri pula digunakan dari jenis nikel-logam hidrat.

Subaru juga menyatakan mereka akan memperkenalkan sistem PHEV tahun ini bermula pada XV generasi baharu, yang akan menerima sistem hibrid dari Toyota – hasil kerjasama teknikal kedua-dua jenama tersebut.

Pendaftaran bagi mereka yang menunjukkan minat turut telah bermula di Australia untuk Forester ini, tetapi spesifikasi rasmi serta harga untuk pasaran berkenaan masih lagi belum diumumkan. Malaysia juga berpotensi untuk menerima model yang sama, tetapi bila ia akan mendarat di sini masih lagi belum dapat dijangka.

GALERI: Subaru Forester generasi baharu di New York International Auto Show 2018