Pada sidang Parlimen hari ini, Tun Mahathir memaklumkan bahawa Dasar Automotif Nasional ketika ini sedang dikaji semula bagi memastikan industri berkenaan dapat kekal kompetetif dalam keadaan yang semakin mencabar kini.

Bernama melaporkan, antara perkara yang terangkum di dalam kajian itu adalah seperti faktor pembangunan industri automotif tempatan (termasuk projek kereta nasional baru), pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta peningkatan eksport.

Tun Mahathir menjelaskan, industri automotif negara khususnya Proton mula merosot dalam tempoh 10 tahun terakhir kerana dasar membenarkan kereta dari luar masuk ke pasaran Malaysia. Sebaliknya, kereta keluaran Malaysia dikenakan pelbagai syarat ketat untuk dipasarkan di negara luar.

“Negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka. Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun dan mereka juga menyekat kereta masuk ke pasaran mereka,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Mahathir menegaskan Proton tidak gagal dan pada satu ketika menguasai 80 peratus pasaran tempatan, mengumpul rizab berjumlah RM4 bilion di samping membina kilangnya menggunakan duit sendiri bernilai RM1.8 bilion.

“Dahulu, Proton berjaya menembusi pasaran Malaysia dan juga pasaran luar negara. Kita dapat menjual 25,000 kereta Proton di United Kingdom dan tempat lain tetapi (akibat) pemerintahan (sebelum ini) kurang cekap, yang tidak tahu berkenaan dengan industri menyebabkan prestasi Proton merosot, kerana kerajaan dahulu membenarkan masuk segala kereta ke Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyentuh tentang bantuan kerajaan bagi tujuan R&D untuk Proton sebelum ini. “Janji untuk R&D diberi kepada syarikat-syarikat lain tetapi kepada Proton ia tidak diberi malah Proton terpaksa belanja duit sendiri untuk R&D. Tetapi yang peliknya apabila Proton sudah dijual, wang R&D ini barulah diberi kepada Proton yang dikuasai syarikat asing,” jelas beliau, yang percaya dan yakin bahawa Proton mampu mencapai kejayaan seperti masa dahulu sekiranya dibantu oleh kerajaan.