Perkarangan MAEPS Serdang hujung minggu lalu menjadi tumpuan peminat-peminat hal-hal automotif, khususnya penggemar dunia binaan khas, kustom dan juga hobi-hobi lain selingkarnya yang berhimpun untuk meraikan berlangsungnya acara tahunan yang memasuki penganjurannya kali ke-7, Art of Speed 2018.

Terlalu banyak pengisian yang dihidangkan kali ini, dan itu membuatkan ramai peminat dan pemerhati membanjiri lokasi itu, yang turut menghimpunkan penggiat bukan sahaja dari Malaysia sendiri, tetapi juga dari arena antarabangsa.

Selain itu, seorang pengunjung bertuah, Mohamad Nasruddin Abdullah, berjaya menjadi satu-satunya pemenang dan penerima sebuah motosikal kustom C600R “Papa Jahat” yang dibina khusus untuk dijadikan hadiah cabutan bertuah.

Bagi pertandingan Motosikal Binaan Khas Jemputan pula, Muhammad Khalid Musa dari Rusty Factory, Ipoh sekali lagi dipilih sebagai pemenang. Jika tahun lalu beliau hadir dengan rekaan radikal sebuah Honda CX500 “Fire Ant”, tahun ini untuk kali kedua berturut-turut kehalusan kerja tangannya sekali lagi menarik perhatian juri dan pengunjung, melalui binaan sebuah motosikal BMW R75/6 “White Angel”.

Jika anda tak berkesempatan meluangkan masa ke acara berkenaan, jangan risau. Sorotan kemeriahan acara terbabit boleh diikuti melalui galeri gambar yang kami sediakan ini.