GIIAS 2018: Daihatsu Ayla Turbo Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia dengan enjin 1.2L, 200 PS!

GIIAS 2018: Daihatsu Ayla Turbo Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia dengan enjin 1.2L, 200 PS!

Seperti tahun-tahun sudah, ruang pameran Daihatsu tahun ini sentiasa menampilkan model-model custom kei-car dan model konsep jenama berkenaan yang dibawa terus dari Jepun ke Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Namun, PT Astra Daihatsu Motor (ADM) telah menyajikan sesuatu yang lebih relevan pada pasaran tempatan untuk GIIAS tahun ini iaitu model konsep yang di gelar Daihatsu Ayla Turbo.

Seperti yang diketahui, Ayla adalah model pasaran Indonesia yang sama dengan Perodua Axia di pasaran Malaysia, selain satu lagi kembarnya –Toyota Agya– yang juga dijual di republik berkenaan. Berbalik pada Ayla Turbo ini, ia adalah hasil ubahsuai yang dilakukan oleh unit R&D ADM sendiri.

Kereta ini masih dijana oleh enjin 3NR 1.2 liter DOHC Dual VVT-i (kita hanya menerima Axia dengan enjin 1.0 liter SOHC VVT-i 1KR-VE), namun ia kini dikerah dengan pengecas turbo, membolehkan kuasa sebesar 200 PS (diberitahu menerusi pelekat pada cermin tingkap belakang) dihasilkan. Walau bagaimanapun, perincian ubahsuai lain tidak dinyatakan selain dari penukaran omboh asal kepada omboh dengan nisbah mampatan lebih rendah dan juga penambahan sistem penyejuk minyak pelincir.

GIIAS 2018: Daihatsu Ayla Turbo Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia dengan enjin 1.2L, 200 PS!

Bagi membezakan Ayla lebih liar ini berbanding model standard, ia diberikan bampar hadapan lebih garang, menampilkan apron agresif yang terdiri dari dua liang udara besar pada kedua-dua sisi bagi menggantikan kemasan serta lampu kabus pada bahagian tersebut. Gril bahagian bawah pula menerima elemen ‘sirip’ yang lebih tebal kelihatan seperti untuk membolehkan lebih udara masuk kebahagian ruang enjin.

Kereta ini juga dilebarkan sedikit menerusi rekaan semula pada fender hadapan dan belakang, yang dihubungkan menerusi skirt sisi yang lebih lebar dah juga lebih labuh. Spoiler belakang hatchback comel ini masih lagi kelihatan sama dengan versi asal, manakala bampar belakang kelihatan lebih ringkas kerana ketiadaan kemasan liang udara palsu, namun kemasan seperti diffuser bersama lampu kabus menyerlahkan imej yang lebih garang.

Keseluruhan badan kereta ini diberikan warna dua tona merah-hitam, bersama pelekat ‘Ayla Turbo’ pada bahagian sisi bawah. Bagi melengkapkan rupanya, satu set rim dua-tona berdiameter 15-inci dipadankan, dibaluti tayar slick dari Achilles. Oh ya, disebalik rim berkenaan, kelihatan angkup brek lebih besar dari AP Racing dilengkapkan pada Ayla ini.

Kami tidak dapat masuk kedalam kabin Ayla Turbo tersebut, tetapi secara jelas anda boleh nampak ia seperti bersedia untuk dipandu dilitar, dilengkapi dengan rollcage penuh, kemasan-kemasan dalaman dibuka, dan hanya tempat duduk pemandu diberikan – dari Sparco, lengkap dengan tali pinggang perlumbaan.

Cermin tingkap sisi kereta ini juga telah digantikan dengan material yang lebih ringan dan satu lubang udara diberikan pada bahagian pemandu. Menurut pihak R&D ADM, sistem suspensi Ayla ini turut diubahsuai dengan lebih keras bagi mengurangkan olengan badan dan membuatkannya lebih stabil.

“Kami harap model konsep Ayla Turbo boleh dijadikan inspirasi untuk industri automotif tempatan dan juga menunjukkan kebolehan R&D Daihatsu,” kata Pradipto Sugondo, pegawai eksekutif R&D ADM. Hah, pemilik Axia yang sememangnya tiada kembar JDM sebenar seperti Kancil, Kelisa, Kenari atau Myvi, ada idea nak ubahsuai Axia anda lepas tengok Ayla Turbo ni?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required