Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

Subaru Forester 2019 pertama kali diperkenalkan kepada dunia semasa pameran New York International Auto Show (NYIAS) awal tahun ini, dan sekarang, SUV serba baru ini telah dilancarkan di Taiwan oleh Motor Image.

Secara visualnya, Forester generasi kelima (SK) ini masih mengekalkan bentuk sama seperti model generasi sebelumnya (SJ), tetapi dengan gaya yang lebih gagah. Bahagian hadapannya lebih tegak, bersama gril heksagon yang diapit lampu utama lebih tajam dan di dalamnya terdapat lampu siang.

Bampar juga dijadikan lebih ranggi, dengan tambahan paling jelas adalah bahagian skid plate. Bergantung kepada varian, lampu kabusnya boleh didapati dalam unit halogen ataupun LED, dan ia terletak jelas di penjuru bampar dengan perumah yang besar.

Pada bahagian tepi, lebih banyak elemen yang menunjukkan konsep kenderaan yang “boleh pergi ke mana-mana” dapat dilihat, termasuk melalui penggunaan side skirt, sementara garis badannya pula nampak mengalir lebih dari atas lengkuk tayar hadapan ke bahagian D-pillar.

Perubahan di bahagian belakang adalah lebih dramatik, dengan lampu lebih besar yang menyerupai konsep bentuk C yang digunakan pada lampu hadapan. Pintu but juga mempunyai lekuk yang lebih jelas pada bahagian bawah, manakala bampar pula dijadikan lebih ranggi dengan kemasan seperti bampar hadapan dan side skirt.

Untuk dimensi, Forester baru ini mempunyai ukuran 4,625 mm panjang (+30 mm), 1,815 mm lebar (+20 mm) dan 1,730 mm tingi (-5 mm). Jarak dari tanah pula adalah 220 mm manakala jarak roda ditambah 30 mm menjadi 2,670 mm. Sekaligus, ini menjadikan bahagian kabin lebih luas dengan ruang kaki bertambah 35 mm, dan ruang lain seperti untuk kepala, bahu serta pinggang juga bertambah.

Di sebalik penampilan yang berubah ini, Forester baru duduk di atas Subaru Global Platform (SGP), yang didakwa dapat memberikan pengendalian yang responsif, penyerapan impak perlanggaran bertambah baik 40%, kurang olengan 50%, serta pemanduan yang lebih senyap dan stabil.

Platform SGP ini juga digunakan oleh model XV dan Impreza terbaru, dan disebabkan itu, Forester menggunakan rekaan papan pemukan yang hampir sama seperti model-model tersebut. Di bahagian tengah terdapat skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen, dan di atasnya terdapat satu lagi skrin yang lebih kecil untuk informasi kenderaan yang lain.

Subaru Forester 2019 dilancar di Taiwan – empat varian ditawarkan, enjin 2.0L CVT, sistem EyeSight

Pergi ke bawah pula, anda akan dapat melihat butang pengawal untuk sistem pendingin hawa, diikuti oleh konsol tengah yang menempatkan tombol gear, butang penukar mod pacuan empat roda serta beberapa fungsi lain seperti Auto Vehicle Hold, Side View Monitor dan brek tangan elektronik.

Untuk aspek praktikaliti, ruang kargo kini bersaiz 2,155 liter dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60:40 – penambahan sebanyak 40 liter – dan keluasan maksimum bagi bukaan pintu but menjadi 135 mm lebih lebar pada 1,300 mm.

Bagi pasaran Taiwan, Forester akan ditawarkan dalam empat trim iaitu 2.0i-L, 2.0i-L EyeSight, 2.0i-S dan 2.0i-S EyeSight. Kesemua empat pilihan ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter direct injection FB20 daripada Impreza yang mampu menghasilkan 156 PS pada 6,000 rpm dan 196 Nm tork pada 4,000 rpm.

Enjin ini dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan pacuan Symmetrical All-Wheel Drive, bersama fungsi idling stop untuk mengurangkan penggunaan bahan api. Sistem lain yang memberi sokongan adalah termasuk Active Torque Vectoring, SI-Drive, X-Mode dan Special X-Mode (untuk trim 2.0i-S ke atas).

Untuk kelengkapan pula (ingat, ini adalah untuk pasaran Taiwan), varian 2.0i-L datang dengan rim 17 inci dan tayar 225/60, lampu LED, lampu DRL halogen, gril dengan pengatup aktif, sistem masuk dan hidupkan enjin tanpa kunci, pedal penukar gear di stereng, akses kod PIN dan tujuh beg udara.

Varian 2.0i-L EyeSight pula ditambah dengan cermin sisi dengan fungsi pemanas, lampu utama yang bertindak balas kepada putaran stereng serta tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu. Pergi kepada varian 2.0i-S pula, kelengkapannya bertambah dengan pedal aluminium, pintu but kuasa dengan fungsi memori serta Lane Change Assist.

Varian yang datang dengan sistem bantuan pemandu EyeSight juga akan menerima fungsi lain seperti Pre-Collision Braking dan Throttle Management, Lane Sway dan Departure Warning serta Adaptive Cruise Control dan Lead Vehicle Start Alert. Ia kemudiannya disertai oleh High Beam Assist, Rear Cross-Traffic Alert dan Side View Monitor.

Setakat ini masih belum ada pengesahan bila Forester baru akan tiba di Malaysia dan sama ada ia akan dipasang di dalam negara atau tidak. Model generasi keempat yang dipasarkan sekarang adalah model pemasangan tempatan (CKD). Bila ada maklumatnya nanti, kami akan sampaikan.


GALERI: Subaru Forester 2.0i-L 2019

GALERI: Subaru Forester 2.0-S 2019

GALERI: Subaru Forester 2.0-S EyeSight 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required