Nampaknya Borgward BX5 bakal dilancarkan di Malaysia secara rasmi pada 30 September ini, kerana dalam laman web rasmi Borgward Malaysia sekarang, sudah ada kiraan mengundur yang pada hari ini menunjukkan 45 hari lagi.
Kami berpeluang mendekati model SUV lima tempat duduk BX5 ini buat pertama kali April lalu, semasa sebuah model panduan sebelah kiri dipamerkan semasa satu acara. SUV ini menggunakan enjin empat silinder 1.8 liter turbo dengan kuasa 190 PS dan 280 Nm tork. Kuasa ini disampaikan ke semua tayar melalui transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Di China, terdapat juga varian BX5 yang menggunakan enjin 1.4 liter turbo.
Untuk saiz, BX5 mencatat panjang 4,490 mm, lebar 1,877 mm dan tinggi 1,675 mm, manakala jarak roda pula adalah 2,685 mm. Semasa pameran itu, BX5 turut ditemani model Borgward yang lebih besar iaitu BX7 sekaligus seakan memberi petunjuk ia mungkin adalah model yang akan diperkenalkan seterusnya.
Walaupun begitu, spesifikasi lengkap untuk model yang dibawa ke Malaysia masih belum disiarkan dan informasi selebihnya hanya akan didapati apabila kenderaan itu dilancarkan nanti. Tetapi, kami ada diberitahu bahawa BX5 akan dipasang di dalam negara (CKD) dan harga tidak rasminya berada di sekitar RM100k.
Pada bulan Mei tahun ini, Borgward juga telah menandatangani persetujuan dengan Go Bremen Motors yang dilantik sebagai pengilang dan pengedar kenderaan Borgward untuk pasaran Malaysia serta beberapa pasaran lain Asean yang terpilih.
Borgward asalnya merupakan sebuah jenama berasal dari Jerman, yang beroperasi sejak tahun 1919 lagi. Namun, pada 1961, syarikat berkenaan menghentikan oeprasinya. Kemudian, pada tahun 2015, sebuah syarikat dari China Beiqi Foton Motor yang merupakan anak syarikat BAIC Group menghidupkan semula jenama ini – Borgward BX7, yang dipamer ketika Frankfurt Motorshow 2015 menjadi titik mula kepada kebangkitan itu.
GALERI: Borgward BX5
GALERI: Borgward BX7