Mitsubishi Triton facelift dilihat sekali lagi, dengan pelekat samaran, selepas tampil awal tahun ini di Tonsley, selatan Australia. Dalam kemunculan terbaru, model sama dilihat di Eropah, dan dengan jelas mempamerkan wajah dengan Dynamic Shield baru serta penggayaan yang lebih segar.

Wajah baru ini menerima rekaan lampu utama yang lebih tirus (kemungkinan projektor LED dengan DRL LED) serta gril baru. Kedudukan lampu kabus juga dianjak ke sudut yang paling hujung bahagian bawah bampar.

Ia turut menampilkan penggunaan pelindung ruang enjin di bahagian bawah, dalam warna hitam, sama seperti pada Triton sebelum ini. Ia juga menggunakan rim yang diberi rekaan baru, serta lampu belakang yang dikemaskini. Selebihnya, penampilan rekaan dan bentuk kabin Triton nampak sama dengan model sedia ada.

Setakat ini, masih belum ada perincian lanjut sama ada Triton facelift ini (dikenali sebagai L200 di pasaran lain) akan dilengkapi dengan enjin yang diberi peningkatan. Tetapi, ia dijangka akan diberikan peningkatan – terutama pada bahagian kabin.

Dengan wajah baru ini, Triton akan tampil dengan rupa yang lebih mirip kepada model konsep GR-HEV yang dipertontonkan pada 2013 lalu. Apa pandangan anda tentang penampilan baru trak pikap ini?