Toyota Hilux Revo Rocco, yang dijual di pasaran Thailand, kini telah hadir dengan pilihan enjin 2.4 liter turbodiesel. Awal tahun ini, Rocco diperkenalkan dengan enjin 2.8 liter turbodiesel dengan kuasa 177 hp/450 Nm.

Enjin 2.4 liter 2GD-FTV turbodiesel ini mampu memberikan kuasa sehingga 150 hp pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm dari 1,600 dan 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan. Rocco 2.4L ditawarkan harga bermula 838,000 baht (RM105,978) bagi Smart Cab, meningkat hingga 949,000 (RM120,016) untuk Double Cab. Dan tambah 50,000 baht (RM6,323) untuk mendapatkan antara varian tersebut dengan transmisi automatik.

Nama Rocco memang bunyinya agak ganas, begitulah tema yang diberikan Toyota untuk kenderaan pikap ini. Gayanya yang penuh maskulin diserikan dengan gril hitam berkilat, bampar belakang kelabu, kemasan gerbang roda hitam, roda 18-inci hitam dengan tayar semua keadaan jalan, sport bar, bed lining, grafik istimewa Rocco dan ruang dalaman juga berwarna hitam dengan kemasan hitam metalik.

Semua ini adalah tambahan bagi facelift baru-baru ini, dengan gril haksagon besar yang diinspirasikan dari Toyota Tacoma yang dijual di pasaran US. Ia turut hadir dengan bampar yang direka semula dengan corong udara dan lampu kabus baharu.

Hilux Revo Rocco boleh dikatakan bersaing dengan beberapa model seangkatannya termasuk Ford Ranger Wildtrak, Isuzu D-Max V-Cross, Mitsubishi Triton Athlete, Chevrolet Colorado High Country dan Nissan Navara NP300 Sportech.