BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

BMW telah membuat keputusan untuk memberikan lebih kuasa kepada model X2 F39 dengan penawaran varian M35i baru, yang disebut oleh syarikat itu sebagai sebuah model yang menggabungkan ciri sporty bersama penampilan yang bertentangan.

Kelebihan utama varian ini sudah tentu adalah pakej kuasanya, di mana ia menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo dengan kemampuan 302 hp dan 450 Nm tork. Menurut BMW, enjin TwinPower Turbo ini adalah enjin empat silinder pertama daripada M Performance, tetapi tidak mendedahkan sama ada ia adalah unit yang dipertingkat daripada enjin B48. Apa yang dinyatakan, enjin ini mempunyai sistem penyejukan yang direka semula supaya suhunya lebih stabil.

Demi memastikan semua kuasa ini dapat sampai ke atas jalan dengan baik, X2 M35i menggunakan sistem pacuan semua roda xDrive, bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan. Hasilnya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.9 saat, tapi laju maksimum tidak diberitahu. Penggunaan bahan api pula dikatakan berada pada tahap sekitar 8.1 L/100 km dan mengeluarkan karbon dioksida serendah 185 gram bagi setiap kilometer.

Selain enjin yang lebih berkuasa, X2 M35i juga datang dengan sistem suspensi adaptif M Sport dengan dua mod pelarasan manual. Gandar hadapan pula mempunyai differential khas M Sport untuk mengelakkan kehilangan cengkaman pada roda hadapan.

Penambahbaikan lain yang dilakukan pada model ini adalah talaan stereng yang dibuat semula, serta brek yang dipertingkat (cakera 18 inci di depan dan 17 inci di belakang). Dengan angkup yang berwarna biru, brek ini masih boleh dilihat jelas di sebalik rim aloi M Sport 19 inci dan pembeli masih mempunyai pilihan untuk menaik taraf rim ini kepada unit 20 inci M Sport.

Walaupun mempunyai potensi yang tinggi, penggayaan X2 M35i tidak terlalu agresif dan cuma menggunakan pakej M Sport yang sudah sedia ada. Walaubagaimanapun, ia diberi sedikit perubahan termasuk pada bahagian salur udara hadapan bagi memberikan kesan penyejukan yang lebih baik kepada brek dan enjin.

BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

Beberapa bahagian seperti gril kidney dan lapik belakang cermin sisi dicat dengan warna Cerium Grey, manakala bahagian belakang mempunyai spoiler atas bumbung yang lebih menonjol serta dua muncung ekzos yang masing-masing berdiameter 100 mm.

Masuk ke dalam pula, ia masih menggunakan barangan seperti dalam pakej M Sport, dengan antaranya seperti roda stereng M Sport yang dibalut kulit dan tulisan M35i paa trim pintu. BMW juga ada menawarkan tempat duduk M Sports sebagai pilihan tambahan, dengan tiga rekaan berbeza termasuk untuk tali pinggang keledar.

Barangan tambahan lain yang boleh didapati untuk kereta ini termasuk heads-up display warna penuh, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar, serta BMW ConnectedDrive dan BMW Connected App versi yang terbaru. Pengeluaran X2 M35i akan bermula November tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required