Bagi dua perlumbaan Formula 4 SEA – Fueled by Petron yang berlangsung di Madras, India minggu lalu menyaksikan pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti sekali lagi membuktikan penguasaannya dan muncul juara acara berkenaan. Alessandro meraih kejuaraan kedua perlumbaan berkenaan yang berlangsung di Madras Motor Race Track, mendahului pelumba Thailand, Kane Shepherd dengan masing-masing mengumpul sebanyak 67 mata dan 45 mata.

Bagaimanapun, dua pelumba dari Malaysia – Alister Yoong dan Muizz Musyaffa – juga tidak ketinggalan untuk mencuri tumpuan. Mereka berhasil untuk menempatkan diri di kedudukan lima teratas. Alister menduduki tempat ketiga secara keseluruhannya dengan 41 mata.

Manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Muizz pula berjaya mengumpul 30 mata dan menduduki tempat kelima di belakang Antoine Potty yang berada di tempat keempat dengan kutipan 35 mata. Secara keseluruhannya, perlumbaan ini terdiri daripada tiga pusingan, sebelum mata akhir dikumpulkan serta kedudukan ditentukan.

Pencapaian yang lebih menarik sebenarnya adalah bagi Alistair Yoong. Ia merupakan perlumbaan yang paling bermakna baginya setakat ini kerana buat julung kalinya beliau berjaya mendahului di tempat pertama mengatasi semua pesaing lain yang ada ketika dalam perlumbaan pusingan kedua, dengan catatan masa 25:02.054 saat. Beliau berjaya kekal di depan dan mengatasi antara lain Alessandro yang sentiasa memberikan persembahan konsisten sepanjang perlumbaan.

Muizz juga tidak ketinggalan mempamerkan persembahan yang meyakinkan apabila beliau turun muncul juara dalam perlumbaan pusingan ketiga, dengan catatan masa 24:42.8 saat. Muizz juga mempamerkan semangat yang tinggi sejak perlumbaan pusingan pertama kali dengan memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba yang berada di hadapan.

Kejuaraan ini belum lagi berakhir; ia akan bertandang ke Litar Burram, Thailand minggu hadapan untuk dua lagi set perlumbaan, sebelum akan tiba pula di Litar Sepang November nanti untuk dua perlumbaan terakhir. Tahniah kepada dua pelumba Malaysia yang terlibat dan jangan lupa untuk turun memberikan sokongan kepada mereka di Sepang nanti.