BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

Perincian penuh bagi model roadster terbaru keluaran BMW, Z4 G29 2019 kini didedahkan selepas penampilan varian M40i kira-kira sebulan lepas. Ia menerima dua lagi varian sebagai penawaran – sDrive20i dan sDrive30i.

Varian paling rendah, sDrive20i dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan pengecas turbo twin-scroll yang menghasilkan 197 hp pada 4,500 hingga 6,500 rpm. Manakala tork pula sebanyak 320 Nm dari 1,450 hingga 4,200 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.6 saat, dengan laju maksimum 240 km/j. Penggunaan minyak pula ialah pada kadar 6.0 liter bagi setiap 100 km dalam kitaran NEDC.

Bagi varian sDrive30i pula, enjin dengan kapasiti yang sama yang digunakannya menghasilkan janaan yang lebih besar; 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 400 Nm tork dari 1,550 hingga 4,400 rpm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Penggunaan minyak adalah pada kadar yang sama.

Varian paling tingggi ialah Z4 M40i. Ia menggunakan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris petrol, dengan janaan 340 hp dari 5,000 hingga 6,500 rpm dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm. Pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.5 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penggunaan petrol dalam kadar antara 7.4 liter hingga 7.1 liter bagi setiap 100 km.

BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

Semua varian yang ada ini dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan pacuan roda belakang. Belum ada transmisi manual yang ditawarkan setakat ini. Transmisi berkenaan mempunyai nisbah yang lebih luas, memberikan penukaran gear yang lebih sporty.

M40i satu-satunya varian yang dilengkapi dengan ciri Launch Control. Ia menampilkan kareteristik penukaran gear M yang dioptimumkan kepada panyampaian kuasa pada enjin enam-silinder sebaris.

Model ini menggunakan casis serba baru, dengan ciri sambungan spring berkembar strut axle di depan, sementara di belakang menggunakan jenis five-link rear axle – gandar yang digunakan ini diperbuat daripada gabungan besi dan aluminium ringan. Gandingan berkenaan menurut BMW memberikan keseimbangan antara karekter sporty dan keselesaan yang optimum kepada kereta ini.

Aspek kemantapan pemanduan antara lain turut dibantu oleh ciri-ciri seperti Dynamic Stability Control (DSC), yang merangkumi ABS, Dynamic Traction Control (DTC), Cornering Brake Control (CBC), Dynamic Brake Control (DBC) dan Start-Off Assistant.

BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

Fungsi Performance Control yang menjadi ciri standard bagi Z4 memberikan kawalan yang lebih mantap dengan cara menyalurkan tork dalam kadar yang pelbagai kepada roda belakang. Suspensi Adaptive M Sport pula unik kepada varian M40i sahaja – ia 10 mm lebih rendah dengan penyerap hentak dan differential belakang M SPort kawalan elektronik.

Dari segi dimensi, Z4 baru ini lebih besar berbanding model lamanya. Panjangnya ialah 4,324 mm (+85 mm), lebar 1,864 mm (+74 mm) dan tinggi 1,304 mm (+13 mm). Jarak antara roda pula lebih pendek menjadi 2,470 mm (-26 mm). Kelebaran sentuhan permukaannya juga (track width) kini lebih – 1,609 mm di depan (+98 mm) dan 1,616 mm di belakang (+57 mm). Semua ini membolehkan Z4 untuk mencapai agihan berat 50:50.

Z4 baru ini juga menggunakan lampu utama LED kedudukan menegak sebagai ciri standard, sementara LED Adaptive dengan fungsi matrix ada sebagai pilihan. Apron bampar depan juga disertai dengan ruang udara yang lebih luas, sementara gril “buah pinggang” yang sinonim dengan jenama ini disertai juga dengan corak “honeycomb” 3D.

Varian sDrive20i dan sDrive30i menggunakan rim aloi 17-inci sebagai standard, sementara M40i menggunakan saiz 18-inci. Rim 19-inci turut ditawarkan sebagai pilihan. Bahagian bumbungnya pula didatangkan dalam dua warna, hitam dan perak, dan boleh diturunkan dalam masa 10 saat, dalam kelajuan mencecah 50 km/j.

Di belakang ada dilengkapi dengan spoiler bersepadu, dengan lampu dalam bentuk L yang memberi imej lebih menarik. Bahagian bawah bampar ada rekaan apron yang kemas dan menonjol, lengkap dengan pemantul cahaya, diffuser, lampu kabus belakang dan hujung ekzos berkembar hexagonal (M40i sahaja).

Ruang dalamannya tidak kalah menarik. M40i antaranya dilengkapi dengan head-up display berwarna, instrumen panel Sensatec, paparan infotainmen 10.25-inci dengan BMW Cockpit Professional, kawalan pendingin dua zon, sistem bunyi dengan 12-pembesar suara 464 watt Harman Kardon dengan amplifier digital. Tidak ketinggalan stereng dan pelapik pedal M.

Tempat duduk balutan kulit adalah standard; sDrive30i dengan kulit Vernasca dalam warna hitam, putih Ivory, Cognac dan Magma Red lengkap dengan benang kontras. M40i pula menerima kulit Alcantara dengan kontras biru.

BMW Z4 G29 2019 – info penuh didedah, tiga varian

Z4 baru ini juga didatangkan dengan ciri kawalan Active Park Distance dan kamera belakang, begitu juga dengan fungsi Collision Warning & Pedestrian Warning with City Braking serta Lane Departure Warning. Pilihan lain yang turut ditawarkan pula termasuk Active Cruise Control with Stop & Go function, sistem Speed Limit Info, maklumat jarak, Lane Change Warning System, dan Rear Collision Prevention dan Cross-Traffic Alert.

Ciri lain termasuk Remote Software Upgrade, BMW COnnected Navigation dan BMW Digital Key, yang boleh diakses melalui NFC pada telefon pintar Samsung. BMW Z4 G29 ini akan dipamerkan ketika Paris Motor Show bulan depan, dan akan mula memasuki pasaran global pada Mac 2019 nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required