Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

Pada tahun 60-an dulu, Peugeot mempunyai model yang cukup terkenal kerana bentuk serta ketahanannya iaitu 504 Coupe. Kini, syarikat itu telah menghasilkan sebuah model konsep dikenali sebagai e-Legend yang mengambil inspirasi daripada 504 Coupe, tetapi dijadikan lebih moden pada segenap aspek. Ia akan ditunjukkan di khalayak ramai semasa Paris Motor Show bulan hadapan.

Ukuran Peugeot e-Legend adalah 4,650 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,370 mm tinggi, dengan jarak roda 2,690 mm dan dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik. Kuasa ini datang daripada bateri 100 kWh, dengan jumlah maksimum sebanyak 340 kW (456 hp) dan 800 Nm tork dapat disampaikan ke semua roda (4WD). Dengan kuasa sebanyak ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah empat saat sebelum mencapai laju maksimum 220 km/j.

Melalui protokol ujian WLTP, e-Legend boleh digunakan sejauh 600 km dengan satu cas penuh, dan dengan menggunakan pengecas pantas, baterinya boleh dicas kembali untuk memberikan jarak 500 km dalam masa 25 minit sahaja. Turut ditawarkan adalah pengecas induksi tanpa wayar.

Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

Menurut Peugeot, e-Legend mempunyai kemampuan pemanduan autonomous 100%, dengan dua mod disediakan iaitu Soft dan Sharp. Dalam mod autonomous Soft yang lebih mengutamakan keselesaan, segala informasi pada skrin digital akan diletak pada tahap minimum manakala dalam mod autonomous Sharp, ia akan menyediakan sambungan kepada aktiviti digital secara maksimum.

Walaupun begitu, dalam kedua-dua mod ini stereng akan dilipat masuk ke dalam seterusnya menyediakan paparan skrin digital 49 inci, tempat duduk akan disandarkan ke belakang, perehat tangan keluar secara automatik untuk menjadi tempat mengecas telefon tanpa wayar dan kawalan kenderaan lain disediakan pada konsol yang bersepadu dengan tempat duduk pemandu.

Jika tidak mahu kenderaan bergerak sendiri, pengguna boleh memandu e-Legend dan disediakan dengan dua mod iaitu Legend untuk pemanduan santai dengan terdapat butang kawalan seperti 504 Coupe dan paparan digital permukaan seperti kayu, dan satu lagi mod iaitu Boost disediakan untuk pemanduan dinamik, dengan paparan penuh keadaan jalan.

Bagi Peugeot, e-Legend ini bukan sekadar manifesto kemampuan teknologi mereka, malah adalah visi untuk jenama Peugeot itu sendiri yang sentiasa fokus kepada masa hadapan yang optimis. Mereka juga mahu menjadikan kereta autonomous dan elektrik sesuatu yang penuh sensasi.

Disebabkan itu, selain bahagian luar yang moden, dalamnya juga dipenuhi pelbagai kelengkapan antaranya teknologi kawalan suara AI dan bahan berkualiti tinggi seperti sutera velvet dan kemasan kayu Paldao. Secara keseluruhannya, terdapat 16 skrin berbeza saiz dalam kenderaan ini, dan selain untuk memaparkan informasi dan kawalan, ia juga digunakan untuk menghasilkan visual khas tertentu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required