UMW Toyota Motor (UMWT) buat pertama kalinya menganjurkan Kejuaran Esports Toyota Velocity bagi meraikan komuniti permainan video di Malaysia serta menyokong sukan era baru di negara ini. Seramai kira-kira 400 peserta telah mengambil bahagian di dalam acara yang berlangsung di Blue Atrium, Sunway Pyramid hujung minggu lalu.

Acara ini turut menjadi lanjutan atau cerminan kepada aktiviti-aktiviti sukan permotoran sebenar di bawah Toyota Gazoo Racing untuk dibawakan kepada khalayak umum, disamping memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri keseronokan perlumbaan.

Kejuaraan Esports Toyota Velocity ini menyaksikan para peserta menggunakan jentera lumba ikonik Toyota iaitu Toyota GR Supra Racing Concept. Dilengkapi dengan mesin simulator Playstation Gran Turismo Sports, kesemua peserta berlumba di atas Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, dengan suasana perlumbaan 3D dan persekitaran yang realistik.

Setelah berlumba selama dua hari, 10 orang peserta terbaik perlu bersaing di pusingan akhir yang berlangsung pada hari Ahad, untuk merebut trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai. Tiga
pemenang teratas akan membawa pulang RM20,000, RM10,000 dan RM5,000.

Sementara itu, hadiah saguhati RM2,000 pula diberikan kepada tujuh peserta akhir yang terlibat. Keseluruhannya, sejumlah RM60,000 hadiah wang tunai ditawarkan untuk kejuaraan ini. Barisan selebriti yang terlibat di dalam perlumbaan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing (TGR) juga turut sama memeriahkan suasana pada acara berkenaan.

Senarai pemenang bagi penganjuran sulung Kejuaraan Esports Toyota Velocity 2018 yang berjaya menduduki 10 tangga teratas mengikut turutan adalah seperti berikut: Muhammad Uzair S Abdul Nasir Khan (Juara), Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin, Aiman Haziq Aidi, Muhammad Shahril Nindar, Mohammad Afif Suhaimi, Ayman Aqeem Abas, Lay Xi Quan, Kei Iskandar Hisham, Amir Haziq Amiruddin dan Muhammad Khirur Azhan.