Ducati Monster 821, Multistrada 1260 dan Panigale V4 masuk pasaran Malaysia secara rasmi – dari RM61k

Ducati Monster 821, Multistrada 1260 dan Panigale V4 masuk pasaran Malaysia secara rasmi – dari RM61k

Pengedar rasmi motosikal jenama Ducati di Malaysia iaitu Next Bike Sdn Bhd hari ini melancarkan tiga model yang ditunggu ramai iaitu Monster 821, Multistrada 1260 dan juga Panigale V4. Harganya masing-masing bermula dari RM60,900 hingga RM66,900 untuk Monster 821, RM129,900 hingga RM155,900 untuk Multistrada 1260 dan RM129,900 hingga RM362,900 untuk Panigale V4.

Melihat kepada Monster 821, ia menggunakan versi terbaru bagi enjin dua silinder V Testastretta berpenyejukan cecair, dan mampu menghasilkan sehingga 109 hp pada 9,250 rpm dan 86 Nm tork pada 7,750 rpm. Warna Ducati Yellow yang diguna datang daripada model lama Monster 900 manakala skrin LCD TFT warna penuh pula pertama kali digunakan sebagai paparan meter dan informasi untuk Monster.

Kelengkapan lain yang boleh didapati pada model ini adalah Ducati Safety Pack, yang termasuk brek ABS Bosch dan Ducati Traction Control, pelarasan ABS dan DTC, tiga pilihan mod tunggangan, set berkembar cakera 320 mm serta angkup Brembo monobloc radial M4-32 di hadapan, angkup tunggal Brembo di belakang, fork 43 mm di hadapan dan monoshock boleh laras di belakang.

Multistrada 1260 pula adalah sebuah model yang menggantikan Multistrada 1200 sebelum ini, dan ia sekarang menggunakan enjin enjin 1,262 cc DVT (Desmodromic Variable Timing) seperti XDiavel, dan ditala untuk menghasilkan 156 hp pada 9,500 rpm dan 129.5 Nm tork pada 7,500 rpm.

Selain enjin baru, Multistrada 1260 ini turut diubah dengan fork yang lebih condong 1 darjah, dan lengan ayun 48 mm lebih panjang. Selain itu, jarak antara rodanya juga lebih jauh; 1,585 mm dari 1,530 mm pada model sebelumnya. Di hadapan terdapat fork 48 mm terbalik (USD) manakala di belakang menggunakan penyerap hentak Sachs – kedua-duanya boleh dilaras.

Untuk senarai kelengkapan, model asas didatangkan terus dengan Vehicle Hold Control (VHC), mod tunggangan, Power Mode, Ducati Safety Pack (Cornering ABS Bosch + DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Cruise Control dan penunjuk arah tutup sendiri. Melalui model 1260 S pula, ia akan ditambah dengan Ducati Cornering Lights, Ducati Skyhook Suspension (DSS), Ducati Quickshift (DQS) naik dan turun dan Ducati Multimedia System.

Paling menarik di antara tiga model ini adalah Panigale V4, kerana ia adalah antara model termaju bagi Ducati dan banyak mendapat teknologi daripada motosikal lumba MotoGP. Ia adalah model keluaran awam pertama Ducati yang menggunakan enjin Desmosedici V4, dengan kapasiti 1,103 cc dan kuasa sebanyak 214 hp pada 124 Nm tork untuk V4 dan V4 S, manakala bagi V4 Speciale, ia meningkat menjadi 226 hp.

Bukan setakat menggunakan enjin baru, Panigale V4 ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik, bermula dengan pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street. Ciri lain adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

Secara standard, Panigale V4 datang dengan suspensi hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm boleh laras, monoshock Sachs boleh laras di belakang dan steering damper Sachs, tetapi bagi versi S dan Speciale, ia datang dengan fork Öhlins NIX-30, monoshock Öhlins TTX36, steering damper Öhlins dan pelarasan separuh automatik. Brek hadapan pula menggunakan angkup Brembo Stylema Monobloc baru, yang merupakan evolusi kepada angkup prestasi Brembo M50.

GALERI: Ducati Monster 821


GALERI: Ducati Multistrada 1260

GALERI: Ducati Panigale V4

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required