Honda Australia telah melancarkan barisan aksesori asli baharu untuk Honda Civic Type R FK8, yang menawarkan komponen-komponen lebih ringan dan meningkatkan lagi rupa agresif hot-hatch dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 310 PS/400Nm berkenaan.
Kita mulakan dengan rim, di mana satu set roda aloi jenis forged bersaiz 20-inci ditawarkan untuk Civic R ini. Diameter rim tersebut sememangnya sama dengan saiz standard, namun menerusi proses penghasilan, ia berjaya diringankan 2.1 kg untuk setiap unit, menjadikan berat keseluruhan yang berjaya dikurangkan adalah 8.4 kg untuk satu set lengkap.
Satu lagi yang menarik berkenaan rim ini adalah rekaannya – diinspirasikan dari rim model lagenda Type R terdahulu seperti Integra Type-R DC2. Ia juga tidak dijual murah, di mana harga yang ditawarkan adalah AUD13,999 (RM41,913).
Selain itu, pemilik Civic Type R di Australia turut boleh memilih pakej penggayaan komponen gentian karbon. Ia terdiri dari ‘bilah sayap’ pada spoiler belakang berharga AUD2,899 (RM8,680), kemasan diffuser belakang berharga AUD1,999 (RM5,985), manakala penutup cermin sisi pula berharga AUD1,299 (RM3,889) – kesemuanya diperbuat dari gentian karbon asli.
Kemasan-kemasan gentian karbon turut ditawarkan untuk bahagian kabin. Ia termasuk kemasan di bahagian bendul pintu berharga AUD1,599 (RM4,787), dan juga pakej yang terdiri dari kemasan untuk bahagian kiri papan pemuka dan juga disekeliling tuil penukar gear berharga AUD1,699 (RM5,087) – juga kesemuanya adalah gentian karbon asli.
Jika anda memilih kesemua aksesori yang ditawarkan ini, secara matematiknya ia berjumlah AUD23,494 (RM70,387) atau hampir separuh harga sebuah Civic Type R FK8 itu sendiri di Australia. Sekiranya pelanggan membeli kereta ini dan terus dipadankan dengan barisan aksesori ini, harga yang perlu dibayar adalah AUD74,484 (RM223,151).
Selain dari aksesori serius ini, Honda Australia turut menawarkan aksesori lain untuk Civic Type R seperti karpet kaki, visor pintu, tray untuk bahagian kargo, lampu suasana, pencahayaan pada panel dalaman pintu – dijual pada harga antara AUD179 (RM536) hingga AUD699 (RM2,094). Nat pengunci rim dari McGard turut ditawarkan dengan harga AUD179 (RM536) yang berupaya melindungi rim RM42k berkenaan dari dicuri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.