Mercedes-Benz telah pun menunjukkan B-Class W247 baru semasa Paris Motor Show 2018, dan daripada aspek penggayaan, ia masih tidak lari terlalu jauh daripada model W246 sebelum ini. Walaupun begitu, bumbung model ini adalah lebih rendah, dan bersama dengan muka hadapan yang lebih kecil, ia membantu menjadikannya lebih aerodinamik dengan kadar rintangan angin cuma 0.24 Cd (sebelum ini 0.25).

Pada bahagian hadapan, lampu utama model ini nampak lebih tajam berbanding model A-Class, tetapi penjurunya pula lebih membulat, dan di tengah terdapat gril heksagon yang direka semula. Bagi model asas, ia datang dengan lampu utama H7, tetapi boleh dinaik taraf dengan lampu jenis LED ataupun Multibeam LED. Sudah tentu, bagi model AMG Line, penampilannya lebih agresif dengan perbezaan pada bampar, lip hadapan dan gril.

Pergi ke bahagian belakang, lampunya yang terbahagi kepada dua bahagian adalah lebih nipis berbanding W246 dan menampilkan pencahayaan berbentuk C di dalamnya. Penutup but belakang juga lebih berlekuk untuk menonjolkan lagi lampu tersebut, dan tempat nombor plet adalah lebih kemas. Selain daripada itu, terdapat pemantul cahaya pada penjuru bampar dan kemasan hitam berhampiran spoiler.

Masuk pula ke dalam, perubahannya lebih jelas berbanding model sebelum ini. Paling menjadi tumpuan adalah skrin Mercedes-Benz User Experience (MBUX) di tengah papan pemuka, seperti A-Class. Ia menggunakan dua skrin yang memaparkan panel isntrumen dan bersambung dengan skrin yang menunjukkan sistem infotainmen. Pembeli juga boleh memilih kombinasi skrin yang berbeza – dua skrin tujuh inci, satu skrin tujuh inci bersama 10.25 inci, dan paling tinggi, skrin 10.25 inci.

Kawalan operasi sistem MBUX ini boleh dilakukan sama ada menggunakan skrin sesentuh yang terdapat di tengah, butang kawalan pada stereng, pad sesentuh pada konsol tengah ataupun menggunakan kawalan suara (Hey Mercedes). Turut disediakan sebagai pilihan tambahan adalah paparan head-up display.

Walaupun sistem MBUX ini diambil terus daripada A-Class, bentuk papan pemuka B-Class ini masih lagi menggunakan rekaan tersendiri. Ia tidak mempunyai kemasan yang bersambung sepanjang papan pemuka tersebut, sebaliknya ia berlekuk dan terasing dengan kemasan di bahagian hadapan penumpang. Selain daripada itu, rekaan corong pendingin hawa, pengawal suhu dan konsol tengah adalah sama seperti A-Class tetapi dalam B-Class ini, kedudukannya 90 mm lebih tinggi.

Mercedes-Benz juga turut menyatakan bahawa aspek praktikaliti MPV kompak ini mendapat manfaat daripada jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,729 mm (+30 mm) serta lebar 1,456 mm (+33 mm). Dalam keadaan standard, tempat duduk belakang boleh dilipat 40:20:40 dan apabila dilungsur ke hadapan sebanyak 14 sm dan penyandar dilaras pada keadaan tertentu, kapasiti tempat barang boleh menjadi antara 455 dan 705 liter. Apabila mahukan lebih lagi ruang, tempat duduk belakang boleh dilipat habis untuk memberi 1,540 liter ruang, dan mulai pertengahan tahun 2019, pilihan penyandar penumpang hadapan yang boleh dilipat akan disediakan supaya pengguna boleh memuatkan barang panjang seperti kayak.

B-Class baru ini juga boleh didapati dengan tempat duduk kinetik yang menyediakan kelebihan postur ortopedik kerana ia boleh melaras sudut kusyen tempat duduk dan penyandar secara berterusan. Anda juga akan mendapat lampu suasana 64 warna serta 10 tema warna untuk dipilih mengikut mood, bersama servis Mercedes Me yang termasuk khidmat perkongsian kenderaan, fungsi navigasi maju, telematics dan lain-lain.

Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, B-Class kini datang dengan pakej Driving Assistance yang termasuk Active Distance Assist Distronic. Active Brake Assist diberikan secara standard, manakala sistem lain yang ditawarkan adalah seperti Active Emergency Stop Assist dan Active Lane Change Assist.

Di bawah bonet B-Class ini terdapat pilihan enjin sama ada petrol ataupun diesel yang mematuhi peraturan Euro 6d-TEMP. Bagi enjin petrol, ia adalah unit empat silinder turbo 1.33 liter M282 yang digunakan pada varian B 180 dan B 200.

Pada B 180 kuasanya ditala kepada 134 hp (136 PS) dan 200 Nm, manakala untuk B 200 ia mampu menghasilkan 161 hp (163 PS) dan 250 Nm tork. Kedua-duanya menggunakan transmisi automatik klac berkembar 7G-DCT tujuh kelajuan bersama penapis kotoran.

Bagi enjin diesel, ia digunakan pada beberapa varian bermula dengan B 180 d, iaitu unit OM608 empat siinder turbo 1.5 liter sama seperti pada A-Class, dengan kuasa 114 hp (116 PS) dan 260 Nm tork. Pada varian B 200 d dan B 220 d pula, ia menggunakan enjin diesel 2.0 liter OM654q dengan kuasa masing-masing 148 hp (150 PS)/320 Nm, dan 188 hp (190 PS)/400 Nm tork.

Untuk transmisi, B 180 d menggunakan unit yang sama seperti varian enjin petrol manakala B 200 d dan B 220 d menggunakan transmisi automatik klac berkembar 8G-DCT lapan kelajuan baru. Beberapa lagi pilihan enjin lain akan diperkenalkan pda masa hadapan, termasuk yang mempunyai sistem pacuan semua roda 4Matic.

Selain daripada enjin, Mercedes-Benz juga menawarkan beberapa pilihan tetapan casis untuk B-Class baru ini. Pada bahagian hadapan semuanya menggunakan tetapan McPherson dan wishbone aluminium diperkuat, tetapi di belakang, model asas akan menggunakan torsion beam manakala model yang lebih tinggi akan menggunakan gandar sambungan four-link. Turut ditawarkan adalah suspensi lebih rendah untuk keselesaan dan suspensi dengan pelarasan serapan aktif adaptif yang dikawal menggunakan sistem Dynamic Select.

B-Class baru ini akan mula dijual di Eropah pada 3 Disember ini, dan penyerahan kepada pelanggan dijangka bermula pada bulan Februari 2019. Apabila memasuki pasaran nanti, ia akan bersaing dengan BMW 2 Series Active Tourer, yang telah diberikan facelift awal tahun ini.