Sementara pengeluar lain menggunakan acara INTERMOT di Jerman sebagai tapak untuk memperkenalkan model baru, Honda pula beralih ke Paris Motor Show, di mana mereka telah menunjukkan buat kali pertama model Neo Sports Cafe Concept.
Anda tidak salah jika merasakan seperti pernah melihat model ini kerana model konsep dengan gaya dan nama hampir sama pernah muncul dan seterusnya menghasilkan model produksi seperti CB125R, CB300R (di negara kita CB250R) dan CB1000R. Untuk model yang terbaru ini, ia menggunakan enjin 650 cc.
Anda boleh lihat sendiri bahagian enjin dan kerangka utamanya seperti datang dari model CB650F, dan berkemungkinan tidak lama lagi, model penggantinya yang dipanggil sebagai CB650R akan muncul hasil daripada model konsep yang ditunjukkan ini.
Jika benar begitu, motosikal CB650R nanti masih akan mempunyai kuasa sama seperti CB650F iaitu sekitar 90 hp dan 64 Nm tork kerana enjin masih sama – unit empat silinder sebaris DOHC 649 cc dengan padanan kotak gear enam kelajuan.
Cuma yang berbeza sudah tentu adalah penampilan – melihat kepada model konsep ini dan model CB-R baru yang lain – ia akan mempunyai lampu LED berbentuk bulat di hadapan, panel tepi yang lebih kecil, bahagian belakang yang lebih pendek dan pilihan warna gabungan perak dan hitam.