March tahun ini, Mercedes-Benz telah menunjukkan model E-Class dan C-Class diesel plug-in hybrid versi pra produksi sewaktu Geneva Motor Show. Sekarang, kita telah diberikan lebih banyak informasi berkenaan varian C-Class, yang dipanggi sebagai C 300 de. Penghantaran unit pertama C 300 de ini kepada pelanggan dijadualkan bermula pertengahan tahun 2019. Syarikat ini juga akan mendedahkan versi plug-in hybrid dengan enjin petrol menggunakan asas C-Class sekarang dan nanti akan menggantikan C 350 e.

Sistem plug-in hybrid pada kenderaan ini berfungsi seperti biasa, cumanya ia menggunakan gabungan enjin diesel, iaitu unit empat silinder 2.0L turbodiesel OM654 yang menghasilkan kuasa 194 PS (191 hp) dan 400 Nm tork, digabungkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

Aspek bantuan elektrik datang daripada motor elektrik berkuasa 122 PS (121 hp/90 kW)/440 Nm yang disepadukan bersama torque converter serta klac transmisi untuk menjadi satu unit tunggal. Ini menghasilkan rekaan yang lebih kompak dan bentuk akhirnya cuma 108 mm panjang berbanding transmisi 9G-Tronic biasa.

Rekaan ini berbeza dengan sistem generasi kedua syarikat itu, di mana motor elektrik disambungkan terus kepada input transmisi dan klac start-off basah digunakan sebagai klac pemula dan pemisah. Torque converter yang beada antara motor elektrik dan transmisi itu mengawal kuasa ketika kenderaan mula bergerak, dan klac pemisah boleh direka semula untuk mengurangkan kehilangan kuasa.

Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 13.5 kWh, yang merupakan satu peningkatan yang banyak berbanding unit 6.38 kWh pada C 350 e. Menurut Mercedes-Benz, ini dapat dilakukan hasil daripada peningkatan kapasiti sel dari 22 kepada 37 Ah berikutan perubahan bahan yang digunakan – daripada lithium-iron-phosphate (LiFePo) kepada lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC).

Bateri ini boleh dicas melalui sistem penjanaan semula kuasa brek waktu memandu atau dengan menyambung kabel ke sumber kuasa. Untuk mendapatkan pengecasan pantas, Mercedes-Benz telah memasang pengecas yang disejukkan dengan air pada C 300 de ini, seterusya menjadikan kapasiti mengecas 7.4 kW – dua kali ganda berbanding 3.7 kW pada C 350 e.

Apabila menggunakan Wallbox 22 kW (penyambung Type 2) jenama itu pula, bateri boleh dicas daripada 10% ke 100% dalam masa cuma 1.5 jam. Ini adalah kurang 15 minit berbanding masa yang diperlukan oleh C 350 e untuk mengecas bateri 6.38 kWh padanya menggunakan Wallbox 3.7 kW sebelum ini. Anda juga boleh mengecas kereta ini menggunakan soket kuasa domestik biasa dan ia akan mengambil masa lima jam untuk penuh.

Mercedes-Benz memberitahu, jumlah kuasa keseluruhan kenderaan ini terletak pada 306 PS (302 hp) manakala tork pula terhad kepada 700 Nm dari 1,400 rpm. Daripada aspek prestasi, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (5.7 saat untuk model Estate/Wagon) dan mencapai laju maksimum 250 km/j. Mengikut cara ujian NEDC, penggunaan bahan api berada pada 1.4 l/100 km (1.5 l/100 km untuk Estate) dan emisi karbon dioksida pada 38 g/km.

Empat mod operasi kuasa disediakan pada kenderaan ini, termasuk Hybrid yang merupakan tetapan asal; E-Mode yang menggunakan kuasa elektrik sahaja; E-Save untuk membantu pengecasan semula bateri apabila perlu; dan Charge yang mengecas bateri semasa memandu. Dalam E-Mode, ia boleh digunakan sehingga jarak 57 km, dengan laju maksimum lebih sedikit daripada 130 km/j.

Pemandu juga mempunyai akses kepada sistem ECO Assist yang dapat mengambil kira profail jalan, had laju serta jarak dengan kenderaan di hadapan untuk menghasilkan saranan pemanduan serta strategi penjimatan. Sebagai contoh, pemandu akan diberitahu bila untuk memperlahankan kenderaan apabila ada had laju di hadapan. Data daripada sistem navigasi, kamera dan radar pengesan juga akan digunakan untuk melaras profail jalan dan kelajuan tertentu.