Baru-baru ini ketika acara MXGP di Belanda, Honda memperkenalkan barisan motosikal dengan kemaskini bagi tahun 2019 – yang dimaksudkan ialah Honda CRF450L dan CRF250RX 2019, disertai juga dengan barusan motosikal CRF enduro yang lain. Untuk menawarkan ketahanan dan kemudahan penggunaan dalam cara tunggangan dual-purpose, model CRF450L menggunakan asas yang sama dari moto-cross CRF450R.

Sah sepenuhnya untuk penggunaan di atas jalan raya dan turut dilengkapi dengan tongkat, CRF450L mempunyai tangki minyak yang lebih besar untu memberikan lebih jarak tunggangan. Selain itu, ia turut dilengkapi lampu LED dan enjin silinder tunggal yang ditala untuk memberikan lebih kuasa pada rpm yang lebih rendah. Jarak servis enjin ini adalah setiap 32,000 km.

Lagi model baru dalam genre yang sama dari Honda ialah model CRF250RX yang menggunakan CRF250R sebagai asas awalnya. Model ini direka untuk tunggangan litar cross tertutup. Sama seperti CRF450L, CRF250RX didatangkan dengan rim belakang 18-inci, tangki minyak dengan kapasiti 8.5 liter serta launch control tiga peringkat dari HRC.

Dua lagi model CRF450R dan CRF450RX juga dilengkapi dengan launch control tiga peringkat yang sama dari HRC serta pemegang Renthal. CRF450R menerima penambahan janaan 2.5 hp dan 2 Nm hasil daripada bahagian cylinder head, bahagian kemasukan udara serta ekzos yang diperkemas.

Bagi kemaskini 2019, Honda CRF250R menerima power pump di bahagian bawahnya melalui penggunaan throttle body dengan diameter 2 mm lebih kecil serta bahagian cam, profil kemasukan udara dan ekzos yang dipertingkat. Honda CRF250R turut menerima ciri launch control tiga peringkat HRC sebagai tambahan kepada tiga mod tunggangan sedia ada. Ia juga dilengkapi dengan kaliper brek dua-piston baru, pemegang boleh laras Renthal serta rim hitam.