Sebelum ini, Mitsubishi sudah pun mengumumkan, pengenalan model Triton terbaru akan dilakukan pada 9 November ini. Kami juga pernah membuat laporan berkaitan teaser kepada model trak pikap yang sama. Kini, ahli dari Facebook New Triton Club Thailand berjaya tangkap gambar yang menunjukkan model berkenaan sebelum pelancaran rasminya.

Umum telah mengetahui bahawa Triton baru ini nanti akan menggunakan sentuhan rekaan Dynamic Shield baru di bahagian depan. Tetapi bahagian belakangnya masih lagi tidak diketahui, sehinggalah gambar ini memberikan sedikit idea tentang perkara itu – nampaknya ada iras-iras model konsep GR-HEV yang dipertontonkan pada 2013 di Bangkok Motorshow.

Seperti yang dapat dilihat dalam gambar ini, lampu belakang yang besar pada Triton sebelum ini tidak lagi digunakan, diganti dengan lampu yang lebih kurus dengan rekaan daripada model konsep yang dinyatakan tadi. Bahagian bucu bamparnya juga nanti lebih bersegi berbanding rekaan bulat pada model ketika ini.

Buat masa sekarang, Mitsubishi belum lagi mendedahkan sebarang perincian berkaitan spesifikasi trak pikap ini; sama ada ia masih akan mengekalkan enjin 4N15 2.4 liter MIVEC turbodiesel yang mengasilkan 181 PS/430 Nm atau sebaliknya.