Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

Selain dari Nissan GT-R R35, Nissan mempunyai satu lagi kereta sport yang masih lagi dijual dalam pasaran – tak lain tak bukan, Fairlady 370Z. Kedua-dua kereta sport berkenaan sudah berada begitu lama dalam pasaran tanpa tanda-tanda akan digantikan model generasi baharu dalam masa terdekat, dan Nissan masih mahukan GT-R dan Z kekal relevan untuk bersaing.

GT-R telah pun diberikan pelbagai versi kemaskini, manakala untuk Z, Nissan telah membina sebuah jentera one-off bagi menyatakan bahawa ia masih ada, dikenali sebagai 370Z Project Clubsport 23 yang akan didedahkan di pertunjukkan SEMA tahun ini. Kereta ini dibina oleh Nissan Motorsport bersama MA Motorsport. Ia bukan dihasilkan dari kerangka baharu dari kilang, sebaliknya menggunakan sebuah 370Z Nismo 2012.

Langkah pertama bagi mendapatkan kuasa segera, enjin asal VQ37VHR 3.7 liter V6 NA berkuasa 350 hp digantikan dengan enjin 3.0 liter V6 VR30DDTT yang disuap dengan dua pengecas turbo. Bukan itu sahaja, enjin baharu berkenaan turut diberikan kit sistem kemasukan lebih sejuk dari AMS Performance, injap Blow-off Z1 Motorsport dan sistem ekzos berkembar 76 mm. Ini membolehkan enjin dengan kapasitinya lebih kecil dan sistem induksi paksaan berkenaan mampu mengkestrak sejumlah 400 hp.

Bagi memastikan suhu enjin ini kekal optimal dan tidak menghasilkan haba melampau, ia diberikan pengubah haba yang ditingkat taraf dari AMS Performance, radiator dan juga hos-hos penyejuk antara untuk cecair penyejuk dari Z1 Motorsport. Sistem stereng kuasa juga menerima unit penyejuk dari MA Motorsport.

Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

Kuasa masih dialirkan sepenuhnya ke gandar belakang menerusi kotak asal enam-kelajuan manual 370Z Nismo. Namun bagi memastikan kesemua kuasa dari enjin diterjemahkan pada roda, ia dikemaskini dengan roda kuasa, plat cekam serta (clutch plate) dan plat tekanan (pressure plate) yang dibina oleh MA Motorsport, manakala gandar pula menerima LSD GT Pro Carbon Nismo dari jenis dua hala dan disejukkan oleh penyejuk differential dari MA Motorsport.

Bagi menghentikan kereta dengan kuasa lebih besar dari asal ini, sistem brek turut diberikan tingkat taraf yang sepatutnya. Cakera brek asal ditukar kepada cakera jenis slotted two-piece dari Z1 Motorsport, dicengkam oleh pad brek Nismo HC Street/Track. Bagi memastikan kuasa hidraulik digunakan sepenuhnya bagi menggerakkan omboh pada angkup brek, paip-paip asal ditukar kepada komponen dari Nismo yang diperbuat dari logam tahan karat.

Manakala untuk pengendalian pula, suspensi hadapan dan belakang menerima komponen-komponen yang baharu sahaja dilancarkan oleh Nismo, bersama set pendakap-pendakap tiga poin Nismo, serta set coilover KW Variant 3 dan spring dari Eibach untuk bahagian belakang.

Manakala bahagian roda, kereta ini menerima rim Nismo yang dibina oleh Rays Engineering menggunakan teknologi flow-forming untuk kualiti tinggi, kuat dan tahan lama. Rim yang akan dijual oleh pengedar Nissan pada masa akan datang tersebut datang dalam diameter 18-inci dan lebar 10.5-inci, dibaluti tayar berprestasi tinggi Hankook RS4 bersaiz 285/35R18.

Nissan 370Z Project Clubsport 23 – model binaan khas untuk litar berkuasa 400hp, akan ke SEMA 2018

Bagi membezakan model istimewa ini dengan versi asal, ia diberikan splitter udara gentian karbon sarang lebah APR, bampar belakang direka semula untuk aliran udara lebih baik, lampu kabus belakang dari 370Z versi JDM, penutup hud hadapan gentian karbon Selbon TS-style bersama pin Aerocatch serta penutup cermin sisi dan kemasan tiang gentian karbon Nismo. Kereta ini menerima warna badan utama Gloss Burnt Orange yang dihasilkan dari pelekat badan, disiapkan Speedesign Custom Graphics

Untuk bahagian dalaman pula, tempat duduk asal ditukar dengan tempat duduk perlumbaan Sparco QRT-R lengkap dengan tali pinggang keselamatan enam poin Sparco, serta diberikan kelengkapan lain seperti roda stereng Sparco R383 dengan hab Bell Works Rapfix, roll cage yang dikimpal, sistem pemadam api untuk ruang enjin dan kabin, serta balutan kulit dengan kemasan elemen seperti berlian diinspirasikan dari model Z generasi pertama, S30 240Z.

Menurut Nissan Motorsport, walaupun ia tidak akan dihasilkan dalam bentuk model produksi, kit lengkap untuk membina 370Z Project Clubsport 23 akan dijual pada masa akan datang, tetapi hanya akan dihasilkan sekiranya ia mendapat permintaan yang tinggi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required