Ford akan turun ke pameran SEMA di Amerika Syarikat dengan membawa pelbagai model, tetapi yang paling banyak variasi adalah Ranger 2019. Syarikat itu akan mempamerkan tujuh Ranger yang diubah suai khas dengan lebih 150 kelengkapan prestasi serta aksesori, yang akan ditawarkan apabila trak pikap itu dilancarkan di sana tahun hadapan.

Model pertama adalah Ranger Pre-Runner, yang boleh dilihat di atas. Ia dibina oleh Ford Performance, dan menunjukkan kemampuan serba boleh kenderaan ini; dipasang dengan pakej off-road FX4, differential belakang boleh kunci secara elektronik serta suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci bersama penyerap khas.

Turut dipasang pada model ini adalah kit upper control arm BDS, ekzos jenis cat-back oleh Ford Performance dan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar BFGoodrich High-Performance All-Terrain KO2 – tetapan sama seperti Ranger Raptor.

Aksesori offroad lain yang ada pada Pre-Runner ini termasuk bampar hadapan dengan skid plate dan bampar belakang Desert Racer, pemijak tepi berlampu Rock Slider, rak belakang Addictive Desert Design dengan lampu LED, serta kit lampu offroad.

Versi seterusnya adalah Ranger Base Camp, yang juga disiapkan oleh Ford Performance. Ia dilengkapi dengan kit suspensi Fox/BDS yang lebih tinggi tiga inci dan penyerap off-road, kit upper control arm BDS, skid plate serta pelindung differential. Bampar hadapan adalah daripada Ascent manakala bampar belakang, winch hadapan serta pelindung gril adalah daripada Warn Industries.

Sepanjang A-pillar kenderaan ini anda boleh melihat ia mempunyai snorkel yang membantu penyampaian udara kepada enjin, dan ia dipasang dengan rim 18 inci yang dibalut tayar BFGoodrich All-Terrain KO2. Sistem lampu turut diambil penting pada versi ini, dan ia dipasang dengan unit daripada Rigid, termasuk di bahagian belakang.

Aksesori lain yang ada pada Ranger Base Camp ini adalah bakul bumbung Skinny Warrior, kit rak Outpost, pelindung hujan Slim Shady serta tapak-tapak khas lain. Bahagian dalam turut dinaik taraf dengan plet tepi pintu krom hitam, lapisan lantai tahan hujan serta sistem keselamatan yang lebih baik.

Model ketiga adalah Xbox Ranger oleh Addictive Desert Designs. Di dalam kenderaan ini, penumpang boleh bermain permainan video di tempat duduk belakang, yang mana tempat duduknya hanya ada dua dan konsol Xbox One Xs dipasang secara terus di situ.

Selain ciri itu, kenderaan ini turut dipasang dengan upper control arm dan kit peninggi BDS Suspension, rim Rev 883 17 inci dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3, bampar depan dan belakang khas, rak atas HoneyBadger bersama pengangkat tayar serta lampu LED tambahan daripada Rigid.

Satu lagi model, Ranger Project Nightfall pula menggabungkan kemampuan offroad dengan penampilan yang bergaya. Senarai aksesorinya bermula daripada penutup bahagian kargo belakang A.R.E. CX Revo, upper control arm BDS Suspension, pengangkat berat Airlift, penyerap hentak Fox, lengkuk roda Bushwacker, bampar Ford Performance, pemijak tepi NFab Epyx dan rim 20 inci Black Rhino Mint, dibalut tayar Cooper Discoverer STT Pro.

Grafik yang cukup menyerlah pada model ini dicat khas oleh Lynch Concepts, dan sebahagian daripadaya, iaitu yang berwarna kelabu serta hijau terang itu adalah pelekat khas. Turut dipasang pada model ini adalah ekzos jenis cat-back serta pelindung differential oleh Borla, rak bumbung oleh Yakima JetStream dan pengangkat basikal Highroads.

Untuk mereka yang betul-betul serius dengan pemanduan offroad, versi Project Ranger X mungkin adalah pilihan yang paling sesuai. Model ini diubah suai secara khas supaya bahagian kargo belakangnya lebih panjang, dan mempunyai kotak barangan Knapheide dengan sistem rak buatan khas untuk kelengkapan yang biasa digunakan di jalan kasar.

Barangan lain yang ada pada kenderaan ini adalah kit suspensi enam inci lebih tinggi serta upper control arm daripada BDS, penyerap hentak Fox 2.5 Factory Series DSC, sistem suspensi beg udara AirLift di belakang dan rim offroad 17 inci KMC XD Series Grenade yang dibalut tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3. Bampar hadapan turut dipasang dengan winch Aeon 10-S, dan ia mempunyai pelindung penuh di bahagian bawah kenderaan.

Ubah suai untuk dua model lagi adalah lebih ringkas. Baja-forged Ranger menggunakan cat warna hijau askar dengan jalur hitam dan kuning di beberapa bahagian, manakala bampar depan dan belakangnya menggunakan besi berbentuk bulat. Bahagian suspensi model ini dinaikkan sedikit sahaja, dan bahagian kabin menggunakan balutan tempat duduk kulit daripada Katzkin yang berwarna hitam dan kemasan kuning.

Model terakhir adalah Airdesign USA Ranger. Penampilan yang lebih kemas ini datang daripada kit badan offroad Airdesign, dan digabung dengan aksesori berlesen Ford yang lain seperti hiasan bawah pintu, bampar hadapan, lengkuk roda lebih lebar, corong udara di fender, skup udara depan, spoiler belakang, spoiler atas bumbung serta hiasan di tailgate.

Bahagian mekanikal lain yang dinaik taraf adalah suspensi serta upper control arm BDS Suspension, penyerap hadapan Fox 2.5 Factory Series DSC, penyerap belakang Fox 2.0 dan rim Fuel Ripper bersaiz 20 inci dengan tayar Nitto Ridge Grappler. Kesemua tujuh Ranger yang diubah suai untuk SEMA ini menggunakan enjin petrol empat silinder 2.3 liter EcoBoost yang dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan ciri SelectShift.