Boon Siew Honda (BSH) kini memperbaharui model Wave 125i, yang sebelum ini sudah berada di pasaran sejak awal tahun 2017. Selain tiga pilihan warna merah, biru dan kelabu dengan grafik baru, model ini turut mempunyai perubahan pada beberapa bahagian lain.

Ini termasuklah lampu hadapannya. Jika sebelum ini ia kelihatan seperti mempunyai pembahagi di tengah, Wave 125i baru ini sekarang menggunakan satu unit tunggal dan ia terdiri daripada sistem LED yang dikatakan lebih terang. Kemudiannya di bahagian panel bawah, lampu penunjuk arahnya dijadikan lebih panjang ke bawah.

Walaupun cuma diberikan dengan gambar bahagian depan oleh BSH, kami menjangkakan pembaharuan lain pada Wave 125i ini adalah sama seperti model yang tiba di pasaran Thailand Ogos lalu, yang termasuk bahagian belakang dengan lampu yang diubah dengan unit yang nampak lebih kemas dan elegan.

Tiada perubahan lain yang dilakukan pada Wave 125i ini, dan ia masih lagi menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 124.89 cc bersama padanan kotak gear empat kelajuan. Untuk pasaran Malaysia, BSH menawarkan versi asas dengan brek dram di belakang pada harga RM5,999 manakala yang mempunyai brek cakera depan dan belakang berharga RM6,299.

Antara keistimewaan lain Wave 125i yang masih lagi dikekalkan untuk model baru ini adalah ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter, tangki bahan api 5.4 liter, tayar 70/90 di hadapan, 80/90 di belakang, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.