DS Automobiles Malaysia telah membawa model DS7 Crossback untuk dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, sebelum ia dilancarkan pada tahun hadapan. SUV ini bakal menjadi alternatif kepada mereka yang melihat kepada segmen yang disertai model lain seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Audi Q5, tetapi mempunyai gaya yang tersendiri.

Tanda utamanya adalah gril DS Wings yang diapit dengan lampu utama LED dengan empat petak kecil di dalamnya, inspirasi daripada model konsep DS E-Tense. Sekeliling gril ini terdapat kemasan berwarna kelabu, dan ia juga digunakan untuk memisahkan bahagian atas dan bawah bampar. Di penjuru bampar terdapat lampu siang yang dibina dengan bentuk jalur berbintik dan bawahnya pula adalah lampu kabus.

Melihat kepada profail, garis badan yang jelas pada bahagian depan dan keliling roda menjadikan DS7 Crossback ini nampak lebih tegap, dan unit yang dipamerkan ini dipasang dengan trim Performance Line, yang termasuk rim ‘Beijing’ Black Onyx 19 inci. Di belakang, terdapat lampu yang mempunyai grafik seperti berlian, dan kemasan kelabu yang bermula dari bawah lampu tersebut dan bersambung di tengah.

Masuk ke dalam, tema berlian ini terus digunakan, dan anda boleh melihatnya dalam sistem infotainmen serta panel instrumen digital 12.3 incinya, pada konsol tengah, corak di tempat duduk dan juga suis kawalan pada stereng. Penggunaan Alcantara pada banyak bahagian dalam kenderaan ini adalah hasil daripada pilihan trim Performance Line.

Panel paparan utama pada papan pemuka kenderaan ini skrin sesentuh berukuran 12.3 inci, dan di atasnya terdapat corong pendingin hawa. Melalui skrin ini, anda boleh mengawal sistem pendingin hawa, pemain media dan juga fungsi navigasi. Turut disiapkan adalah pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi 14 pembesar suara Focal Electra, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa belakang dengan butang kawalan digital, pintu but belakang kawalan elektrik dan jam BRM R180 yang boleh tersembunyi apabila enjin dimatikan.

Buat masa ini, penampilan DS7 hanya sebagai satu pra tonton awal, jadi harganya juga masih belum disiarkan. DS Automobiles Malaysia walaubagaimanapun telah menyatakan ia bakal ditawarkan dengan pilihan warna Platinum Grey, Nero Black dan Absolute Red, berserta jaminan sehingga lima tahun atau 120,000 km.