Sekitar sepuluh tahun lalu, nama Land Rover sering dikaitkan dengan kenderaan lasak yang sinonim dengan lelaki pertengahan umur. Namun segala-galanya berubah apabila Evoque muncul pada tahun 2010, di mana SUV kompak yang sering dikaitkan dengan Victoria Beckham berkenaan menyebabkan jenama tersebut kini boleh dimiliki kaum hawa, tiada batas umur, tanpa kelihatan janggal.

Lapan tahun dalam pasaran, kini Evoque hadir dengan model generasi kedua. Ia masih kekal dengan imej ikonik pada model sebelum ini, namun kelihatan jauh lebih segar. Menurut Jaguar Land Rover, Evoque generasi baharu ini menjanjikan standard baharu untuk perincian, kemampuan dan kemampanan.

Garis badan pada Evoque baharu ini adalah kesinambungan dari model sebelumnya – garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Otot-otot yang diberikan pada kesemua ruang roda, bersama rim 21-inci baharu menggambarkan “sikap yang teguh dan dinamik”.

Manakala pada bahagian belakang, Evoque diberikan perician seperti abangnya, Velar, bersama pembuka pintu yang boleh disorok. Ciri-ciri baharu yang lain termasuk elemen-elemen batu permata seperti pada lampu hadapan tirus LED Matrix dan elemen kuprum tembaga.

Inspirasi dari Velar turut diberikan pada kabin. Ia dihasilkan dengan rekaan ringkas tanpa unsur-unsur ‘serabut’, yang di sifatkan Land Rover sebagai ruang dalaman yang mewah, minimalis dan digital. Antara ciri yang diberikan termasuk sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo (menampilkan perisian baharu yang lebih pantas), tempat duduk denagn kawalan 16-hala serta ionisasi udara kabin.

Land Rover turut menawarkan tekstil yang diperbuat dari plastik kitar semula, seperti campuran kapas Kvadrat dan kain sued Mikro Dinamica, dan juga pilihan Eucalyptus dan Ultrafabric bagi menggantikan balutan kulit.

“Apabila Range Rover Evoque muncul buat pertama kali pada 2010, ia telah merubah dunia SUV kompak dan model baharu ini disasarkan untuk menyambung perjalanan luar biasa tersebut. Kenderaan yang penuh dengan karekter ini menggabungkan kehalusan dan keseronokan bagi menghasilkan semua emosi yang penting yang akan memusingkan kepala dan membuatkan orang tersenyum,” kata CEO rekaan Land Rover, Gerry McGovern.

Saiz Evoque baharu ini masih lagi kekal, di mana dengan ukuran panjang 4.37 m adalah lebih kurang sama dengan sebelum ini. Namun, model generasi kedua ini sebenarnya diasaskan dari platform Premium Transverse Architecture Land Rover baharu yang dibina dengan pelbagai material serta menampilkan ruang kabin yang lebih luas.

Jarak roda direka 20 mm lebih panjang bagi memberikan ruang lutut lebih luas, manakala ruang simpanan juga menerima peningkatan di mana glove box SUV tersebut kini boleh menempatkan tablet, beg tangan dan juga botol dengan mudah, menurut Land Rover.

Ruang kargo pula dihasilkan dengan kapasti 591 liter atau 10% lebih besar, membolehkan ia diisi dengan satu beg golf. Mahu lebih ruang? Lipat tempat duduk belakang (dengan nisbah 40:20:40) sepenuhnya, dan anda menerima kapasiti sehingga 1,383 liter.

Platform baharu ini turut direka bagi membolehkan teknologi elektrik diaplikasikan. Untuk permulaan, Evoque turut ditawarkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt, manakala model dengan sistem hibrid plug-in akan hadir setahun selepas ini.

Sistem hibrid ringkas pada Evoque ini merupakan yang pertama diperkenalkan oleh Land Rover. Tenaga akan dicas semula ketika SUV berkenaan menyah-pecut menerusi starter generator yang digerakkan dengan tali sawat yang dihubungkan pada enjin. Kuasa elektrik akan dihantar kepada bateri 48V yang diletakkan di bawah lantai menggunakan penukar DC/DC.

Pada kelajuan bawah 17 km/j, enjin akan dimatikan sekiranya pemandu menekan pedal brek. Apabila memecut pula, kuasa yang disimpan akan digunakan untuk membantu enjin konvensional bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Menurut Land Rover, sistem ini menghasilkan pemanduan yang diperhalusi, senyap dan efisien dalam kawasan trafik sesak.

Evoque generasi baharu ini menerima pilihan enjin Ingenium petrol dan diesel empat silinder. Sistem hibrid ringkas membolehkan emisi CO2 dicatatkan serendah 149 g/km dan penggunaan bahan api bermula 17.8 km/l berdasarkan prosedur ujian WLTP baharu. Model PHEV dan juga enjin petrol Ingenium tiga silinder yang akan ditawarkan pada masa hadapan bakal memberikan keberkesanan yang lebih baik.

Kesemua enjin kecuali varian asas 2.0L D150 2WD Manual akan menerima sistem hibrid ringkas tersebut secara standard. Varian lain turut akan ditawarkan dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik dan sistem AWD, mankala pilihan enjin bermula dengan D150 berkuasa 150 PS/380 Nm sehingga petrol turbo P300 berkuasa 300 PS/400 Nm yang mampu memecut dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 6.3 saat.

Bagi sistem off-road pula, pacuan semua roda Evoque ini digandingkan dengan sistem Active Driveline generasi kedua bersama Driveline Disconnect bagi meningkatkan keberkesanannya. Manakala sistem Adaptive Dynamics pula memberikan keseimbangan antara keselesaan dan ketangkasan yang optimum.

Sistem Terrain Response 2 yang diambil dari model Range Rover yang lebih besar turut diberikan. Sistem ini berupaya untuk mengesan jenis permukaan jalan secara automatik ketika dipandu, dan selepas itu akan membuat tetapan semula juga secara automatik. Model baharu ini boleh mengharungi laluan berair sedalam 600 mm, atau 100 mm lebih dalam dari sebelumnya.

Satu lagi ciri yang diberikan pada Evoque ini adalah cermin pandang belakang ClearSight – ciri pertama seumpamanya yang diberikan pada SUV dengan saiz tersebut. Dengan sistem ini, pemandu masih boleh melihat bahagian belakang dengan jelas walaupun bahagian kabin belakang dipenuhi barang-barang bersaiz besar, menerusi paparan skrin HD.

Pemandu hanya perlu menggunakan suis di bawah cermin tersebut, kemudian kamera akan memberikan paparan bahagian belakang. Menurut Land Rover, skrin tersebut memberikan imej lebih lebar (50 darjah) dengan tahap penglihatan yang sangat baik walaupun dalam cahaya rendah.

Satu lagi paparan yang akan memudahkan pemandu adalah teknologi yang digelar Ground View. Menerusi sistem ini, ia seolah-olah akan menjadikan bonet hadapan halimunan, membolehkan pemandu melihat bahagian bawah hadapan Evoque berkenaan dengan paparan 180 darjah. Sistem ini akan membantu pemandu pada ruang parkir yang sempit dan melalui jalan dengan halangan tinggi atau permukaan yang lasak. Sistem ini juga adalah versi produksi sistem ‘Bonet Telus Cahaya’ yang diprebiu oleh Land Rover pada 2014.

Evoque juga menampilkan satu lagi teknologi yang pertama kali diperkenalkan iaitu Smart Setting – yang menggunakan algoritma A.I bagi ‘mempelajari’ apa yang pemandu suka dan bertindak sebagai pembantu kepada pemandu. Ia akan dihubungkan kepada larasan tempat duduk, pilihan muzik, tetapan penghawa dingin dan juga kedudukan kolum stereng bagi memaksimakan keselesaan.