Honda, bersama rakan kongsinya di China iaitu Guangzhou Automobile Group (GAC) telah melancarkan crossover elektrik penuh baru di Guangzhou Auto Show, dipanggil sebagai Everus VE-1. Model yang dibangunkan khas untuk pasaran China ini dipertontonkan dalam versi konsep beberapa bulan yang lalu dan mempunyai saiz yang sama seperti HR-V.

Daripada aspek penggayaan, muka VE-1 ini adalah berbeza berbanding HR-V, di mana ia termasuk dengan lampu siang LED menegak dan gril bawahnya berbentuk trapezoid. Krom bar yang sepatutnya terdapat di antara lampu hadapan kini sudah tiada, dan gril di atas tertutup penuh dan boleh dibuka untuk mendedahkan tempat mengecas.

Selain daripada itu, kebanyakan bahagian kenderaan elektrik ini adalah sama dengan HR-V, termasuk rekaan bahagian belakang. Di dalam, anda boleh melihat pemilih gear kini menggunakan butang dan bukannya tombol biasa, manakala panel instrumen menggambarkan kenderaan yang tidak mempunyai sebarang emisi.

VE-1 digerakkan oleh motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 161 hp (120 kW) dan 280 Nm tork. Ia disambung dengan reduction gear tunggal yang menyampaikan kuasa ke roda hadapan, dan membolehkan kenderaan elektrik ini memecut dari 0-50 km/j dalam masa lima saat sebelum mencapai laju maksimum 140 km/j.

Punca kuasa sebenarnya adalah daripada bateri 53.6 kWh, dan mampu memberikan jarak pergerakan 340 km dengan sekali cas penuh, dan boleh mencapai 430 km jika dipandu dalam kelajuan sekata 60 km/j. Ia boleh dicas menggunakan penyambung Type 2, tetapi perincian lain berkenaan pengecasan tidak disiarkan. Berdasarkan apa yang kami boleh lihat daripada laman rasminya, masa mengecas standard adalah sembilan jam, manakala apabila menggunakan pengecas pantas, ia cuma mengambil masa 55 minit.

Melihat kepada kelengkapan, VE-1 datang dengan rim 17 inci, lampu depan dan belakang LED, bumbung panoramik, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula, pengawal pendingin hawa automatik satu zon, balutan kulit dan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan inci. Pemilik juga disediakan dengan tiga mod memandu iaitu Normal, Sport dan Battery Saver.

VE-1 dijual di China pada harga 170,800 yuan (RM103,015), tetapi ini adalah termasuk insentif. Tanpa insentif tersebut, EV ini dijual pada harga 225,800 yuan (RM136,186). Sebagai perbandingan, HR-V biasa (dipanggil sebagai Vezel) dijual di sana pada harga bermula 128,800 yuan (RM77,683).