Ketika berlangsungnya Los Angeles Motor Show 2018, Nissan telah mendedahkan SUV Murano generasi ketiga versi facelift, yang menampilkan sedikit perubahan pada rupa luaran dan dalaman, serta dikemaskini dengan berberapa teknologi.

Pada bahagian muka, Murano facelift ini menampilkan gril V-Motion yang lebih tajam bersama elemen sarang lebah di bahagian tengah, manakala liang udara pula di reka dengan elemen segi tiga, yang turut menempatkan lampu kabus LED baharu. Kluster lampu hadapan masih lagi sama, tetapi grafik dan susun atur LED pada bahagian dalam menerima rekaan semula.

Pilihan rim 18- dan 20-inci baharu ditawarkan bagi memberikan imej yang lebih segar pada bahagian sisi. Manakala di belakang, Murano dilengkapkan dengan lampu LED baharu. SUV ini juga diberikan tiga pilihan warna badan baharu yang ditambah iaitu Sunset Drift Chromaflair, Mocha Almond Pearl dan Deep Blue Pearl.

Model tertinggi Platinum menerima upholsteri kulit semi-aniline pada bahagian kabin, bersama elemen jahitan seperti berlian diserlahkan pada tempat duduk. Ia turut diadun dengan kemasan kayu gelap, dan juga jalur serlahan berwarna perak pada tempat duduk, konsol tengah dan perehat tangan.

Manakala varian yang lebih rendah iaitu S, SV dan SL diberikan kemasan sama ada kemasan metalik atau pun kayu berwarna cerah. Varian SL dan keatas menerima sistem infotaimen NissanConnect yang menawarkan sistem navigasi pintu-ke-pintu, dan kini menampilkan grafik bangunan tiga dimensi serta imej satelit, bersama informasi trafik premium dan kemampuan carian POI. Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto pula adalah standard untuk semua varian.

Untuk keselamatan pula, Murano 2019 menerima sistem Amaran Pintu Belakang dan sistem Intelligent Driver Alertness. Kabin belakang kini diberikan beg udara tambahan pada bahagian sisi, manakala pemandu pula dilindungi dengan beg udara tambahan untuk lutut. Sistem bantuan pemanduan Safety Shield 360 ditawarkan sebagai opsyen, menawarkan fungsi brek kecemasan automatik, pengesan pejalan kaki, amaran titik buta dan lintasan trafik belakang, amaran keluar laluan, bantuan lampu tinggi dan brek automatik belakang.

Dua kemasan baharu ditambah dalam barisan model Murano 2019. Pertama adalah SV Premium Package yang hadir dengan moonroof panaromik berkuasa elektrik, monitor pandangan sekeliling pintar, sistem bunyi premium Bose dengan 11 pembesar suara dan banyak lagi. Satu lagi adalah SL Technology Package yang disertakan dengan pakej Safety Shield 360, pengenal tanda arahan trafik dan juga moonroof panaromik berkuasa.

Tiada perubahan mekanikal diberikan untuk Nissan Murano facelift 2019 ini. Ia masih dijana enjin petrol 3.5 liter NA V6 berkuasa 263 PS dan tork maksima 325 Nm. Kuasa dialirkan ken kotak gear CVT automatik Xtronic, manakala sistem pacuan semua roda pula ditawarkan sebagai opsyen. SUV ini akan mula dijual di Amerika bermula Disember 2019.