Selepas menunjukkan prestasi baik dalam Rali Dakar 2018 menggunakan jentera yang dibuat daripada model Tivoli, SsangYong kini mendedahkan pula jentera untuk tahun depan. Kali ini, syarikat dari Korean Selatan tersebut menggunakan pula asas daripada Rexton, dengan model yang akan bersaing dalam rali paling mencabar itu dinamakan sebagai Rexton DKR.

Ia dibina oleh SsangYong Motorsport di Sepanyol, dan menampilkan badan seperti buggy padang pasir, dengan beberapa ciri rekaan SUV Rexton masih dikekalkan. Ini termasuk gril heksagon, lampu utama yang besar serta logo pada kenderaan tersebut.

Selain daripada itu, semua bahagian pada jentera rali ini dibina khas untuk memastikan ia kuat, pantas dan ringan untuk bersaing dalam kelas T1-3 (kenderaan petrol pacuan dua roda). Ia dikuasakan oleh enjin lumba V8 yang mampu menghasilkan 450 hp, dan kuasa ini disampaikan ke roda belakang. Berat keseluruhan Rexton DKR adalah 1,900 kg, dan ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat.

Demi memastikan pembahagian berat yang seimbang, enjin V8 ini diletakan di tengah, antara dua gandar yang ada. Enjin ini juga datang dengan sistem MoTeC, seterusnya membolehkan pemetaan enjin dilaras waktu sedang bergerak, manakala bahan api pula terletak dalam tangki Lightweight Pyrotect.

Untuk memindahkan kuasa dari enjin ke tayar dan seterusnya atas jalan, jentera ini menggunakan kotak gear sequential enam kelajuan Sadev SL90-23, yang dibantu oleh klac seramik tiga cakera yang boleh bertahan sehingga 1,500 Nm tork, serta differential boleh kunci sendiri Torsen.

Badan Rexton ini dilekatkan atas casis tiub besi bulat yang dibuat daripada chrome-molybdenum, dan dikimpal menggunakan TIG bagi memberikan ketegaran yang baik. Seterusnya pada casis itu terdapat suspensi lengan berkembar dengan penyerap hentak King serta spring penyambung helical. Kerja membrek pula dijalankan oleh unit prestasi tinggi daripada AP Brakes dan rim menggunakan unit aloi Raceline yang dibalut dengan tayar Yokohama Geolander.

Rexton DKR akan dipandu oleh pelumba Sepanyol, Óscar Fuertes, bersama Diego Vallejo sebagai pembantu dan ini adalah pasukan sama yang telah menggunakan Tivoli dalam Rali Dakar tahun lepas. Cuma kurang daripada separuh kenderaan yang menyertai rali ini berjaya menghabiskan keseluruhan perlumbaan, tapi mereka pula adalah pasukan rookie kedua yang menamatkan perlumbaan, dan mendapat tempat ke-32 secara keseluruhan.