Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

Teaser demi teaser disiarkan Toyota sebelum generasi baharu Supra A90 yang bakal didedahkan di North American International Auto Show (NAIAS) 2019, berlangsung di Detroit 14 Januari ini. Prototaip kereta berkenaan sudahpun membuat kemunculan (dengan pelekat penyamaran) di Goodwood Festival of Speed 2018 Julai lalu, dan minggu lepas gambar cermin sisi untuk unit produksi pertama disiarkan bersama pengumuman bahawa ia bakal di lelong pada acara Barret-Jackson Arizona.

Terbaharu, Toyota telah menyiarkan satu lagi teaser Supra generasi seterusnya ini dalam bentuk video. Imej kereta dalam video ini dikaburkan, namun bunyi enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan suapan turbo pada Supra berkenaan jelas kedengaran.

Ya, bunyi enjin tersebut tidaklah seganas bunyi dihasilkan oleh enjin 2JZ-GTE dari model generasi JZA80 yang telah diubahsuai dengan ekzos, turbin dan wastegate lebih besar, namun ia tetap menghasilkan irama enam-silinder yang tajam seperti 2JZ. Jelas kedengaran juga, Toyota telah menala enjin berkenaan bagi menghasilkan bunyi letupan sebaik sahaja pedal pendikit dilepaskan.

Seperti yang diketahui, Supra A90 ini dihasilkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 generasi terbaharu. Toyota dan jenama dari Jerman berkenaan telah bekerjasama untuk membina asas kedua-dua model ini sejak tahun 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

Menurut laporan sebelum ini, pasukan jurutera antara kedua-dua jenama tersebut tidak lagi berhubung antara satu sama lain sejak pertengahan 2014, jadi berkemungkinan besar karekter akhir kedua-dua kereta tersebut juga tidak sama antara satu sama lain.

Toyota turut mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

Walaupun Toyota sudah menyatakan yang Supra ini hanya akan hadir dengan kotak gear automatik sahaja, pembantu ketua jurutera untuk projek ini, Masayuki Kai menyatakan bahawa Supra dengan transmisi manual sebenarnya telah pun dihasilkan dan ia hanya dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Jelas Kai, sama ada versi berkenaan akan dijual atau pun tidak ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran dan mungkin hanya untuk model JDM serta pasaran RHD lain.

Yang pasti, kuasa dari enjin Supra ini hanya akan dialirkan ke gandar belakang, lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina di atas casis aluminium dan logam komposit, dengan pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

Ketua jurutera Tatsuya Tada pula menjelaskan bahawa model generasi baharu ini tidak bersifat seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar di laluan lurus’, tetapi ia akan dibina lebih fokus kepada dinamik pengendalian. Ia juga dikatakan bakal menampilkan nisbah berat hadapan dan belakang sempurna 50:50.

Toyota Supra A90 – bunyi enjin 3.0L 6-silinder didedah!

Beliau turut memberitahu Supra A90 juga akan hadir dengan varian asas menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter juga diambil dari BMW. Tada menjelaskan bahawa model asas tersebut akan dibina lebih ringan dari versi tertinggi, secara tidak langsung menawarkan pengendalian yang lebih tajam kerana pembahagian nisbah berat yang lebih baik.

Ketua jurutera berkenaan turut mencadangkan bagi mereka yang sudahpun berkira-kira untuk menyumbat enjin 3.0 liter 2JZ dari Supra generasi keempat ke kerangka Supra baharu ini, pilihan versi asas tersebut adalah yang terbaik kerana ia lebih murah.

Sebelum kereta ini didedahkan sepenuhnya bulan hadapan, minggu lalu imej muka Toyota Supra A90 ini sebenarnya sudah bocor dan ia telah disebarkan di internet – menampilkan rupa yang sedikit berbeza dari model konsep Toyota FT-1, dan mendapat sedikit inspirasi dari Supra JZA80.

GALERI: Prototaip produksi Toyota Supra A90

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required