Kira-kira dua minggu lalu, kami ada telah menyiarkan artikel berkenaan “Annie”, iaitu Volkswagen Beetle yang berumur 51 tahun milik Kathleen Brooks, seorang wanita berumur 73 tahun dari California, yang direstorasi secara percuma oleh Volkswagen sendiri. Baru-baru ini, kisah Annie dan Kathleen telah didokumentasi dalam bentuk video yang menyentuh jiwa.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Beetle ini dibeli baru oleh Kathleen pada Disember 1966 di Riverside dan Annie terus dipandunya sehingga hari ini dengan catatan perbatuan mencecah 350,000 batu atau 563,270 km. Namun kedua-duanya masih setia antara satu sama lain untuk mengharungi kehidupan bersama.

Apa yang lebih mengharukan, Annie dipandu Kathleen setiap hari ke tempat kerja di mana dia bertugas untuk memberikan keselesaan dan penjagaan kosmetik kepada pesakit barah payudara, dan dia sendiri sebenarnya sudah tiga kali bertarung dengan penyakit yang sama. Kisah Brooks dan Annie ini sampai ke telinga Volkswagen sendiri, dan jenama dari Jerman tersebut bersetuju untuk merestorasi semula Annie, secara percuma.

“Kereta saya adalah sangat bersifat peribadi kepada saya kerana nombor satu, kami telah bersama sekian lama. Dan jika anda fikirkan tentang 51 tahun kehidupan saya, anda fikir semua pengalaman yang saya alami, dia (Annie) telah bersama saya untuk mengharungi semuanya. Perkahwinan, penceraian, teman baharu. Saya ingat lagi ketika pulang dari rawatan kimoterapi, melalui kesesakan pada susur gabungan 5805 arah utara, saya sandarkan kepala saya kepadanya, siku saya kepadanya, maksud saya, saya nampak dia menerusi mata saya, dia nampak teruk. Tapi disebaliknya, dia kuat, dia boleh diharap, dan dia sangat-sangat baik kepada saya. Maksud saya, berapa ramai yang memiliki sebuah kereta dalam masa hampir 51 tahun? Ia hebat bukan?” kata Kathleen.

“Sudah banyak kali saya katakan yang dia dan saya banyak persamaan kerana dia sudah tua, dia sudah pudar, dia sudah kemek, dia sudah berkarat, tapi anda tahu tak? Dia masih lagi berjalan. Dan selagi saya menjaga dia dengan sebaiknya, dia akan terus berjalan,” tambahnya lagi

Proses baikpulih Annie ini bukan dilakukan di bengkel biasa, sebaliknya ia di bawa semula ke kilang yang menghasilkannya dahulu, terletak di Puebla, Mexico. Menurut Volkswagen, proses restorasi Annie ini bukan disasarkan untuk menjadikannya seperti sebuah kereta yang hendak diletakkan sebagai pameran di muzium dengan komponen-komponen asli dari tahun yang dihasilkkan, sebaliknya akan dilakukan dengan konsep resto-mod iaitu baik pulih bagi membolehkan kereta itu dipandu dengan lebih relevan pada masa sekarang dan memastikan ia akan terus dipandu mungkin dalam 50 tahun lagi.

Kerja-kerja restorasi Annie ini telah berjalan selama 11 bulan, dilakukan oleh seramai 60 orang pekerja. Volkwagen menyatakan bahawa 357 komponen telah direstorasi semula, mankala 40% komponen lain telah ditukar. Selain menjalankan baikpulih terhadap casis, badan dan juga sistem pendawaian, Volkswagen menggantikan sistem brek dram kepada brek cakera, suspensi yang ditingkat taraf, enjin yang dirombak rawat dan dilengkapkan dengan peralatan lebih moden.

Badan kereta ini menerima cat merah baharu tetapi masih menggunakan kod merah yang sama pada warna asal. Bahagian bumbung kini telah dilengkapkan dengan rak manakala kesemua tayar menerima ‘white wall‘, membolehkan Annie nampak lebih ranggi. Setiap pelekat yang telah di lekatkan oleh Kathleen kepada Annie turut ditampal semula bagi mengekalkan kenangan antara tuan dan kereta tersebut.

Pada bahagian kabin, papan pemuka dan panel-panel logam turut menerima cat baharu sama seperti warna badan. Ia menerima upholsteri baharu bersama sulaman nama “Kathleen” dan “Annie” pada tempat duduk hadapan. Volkswagen turut memberikan radio baharu untuk Annie bagi menggantikan sistem stereo lama.

Apa reaksi Kathleen setelah Annie pulang kepangkuannya? Anda patut tengok sendiri kesudahannya pada video di atas. Jika anda seorang yang sentimental dengan kereta, video ini mungkin akan menyebabkan air mata anda mengalir.

GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ sebelum direstorasi

GALERI: Proses restorasi Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’

GALERI: Volkswagen Beetle 1966 ‘Annie’ setelah siap direstorasi