Nampak gayanya SUV pertama Proton, X70, yang dibangunkan hasil kerjasama Geely, menerima sambutan yang sungguh menggalakkan sejak ia dilancarkan pada 12 Disember lalu. Sehingga kini, dimaklumkan, X70 menerima tempahan antara 200 hingga 300 unit sehari. Malah mencatatkan sejumlah lebih 15,000 tempahan selepas kempen pra pelancaran pada pertengahan Oktober lalu.

Menurut CEO Proton Edar Sdn Bhd, Datuk Abdul Rashid Musa, lebih 60% tempahan adalah untuk variasi premium yang menunjukkan pembeli tertarik dengan ciri-cirinya dan ia adalah pemilikan yang berbaloi.

“Sokongan yang kukuh itu berterusan dan ini adalah maklum balas terbaik diterima Proton,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

“Tempahan baharu X70 berpeluang menerima kereta berkenaan dalam masa dua ke tiga bulan daripada tarikh tempahan, bergantung kepada varian dan warna yang dipilih,” kata Abdul Rashid.

Buat masa ini, X70 yang berada di pasaran adalah unit import sepenuhnya (CBU) yang dipasang di China. Walau bagaimana pun, Proton dan Geely bercadang mengeluarkan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) di kilang Proton di Tanjung Malim sebagai pemasangan tempatan (CKD) tahun depan dengan pelaburan RM1.2 bilion.

Abdul Rashid berkata, dengan kilang di Tanjung Malim dinaik taraf untuk pengeluaran RHD SUV berkenaan, Proton boleh menjual seberapa banyak unit CBU X70 melalui permit import sambil menunggu barisan pengeluaran CKD siap sekitar Oktober 2019.

Proton X70 menawarkan empat varian, bermula dengan varian asas Standard 2WD dijual pada harga RM99,800, varian Executive 2WD berharga RM109,800, varian Executive AWD berharga RM115,800 manakala varian tertinggi Premium 2WD berharga RM123,800. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan, tanpa insuran, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km. Untuk spesifikasi penuh setiap varian, sila KLIK DI SINI.

GALERI: Proton X70 Premium 2WD