Harga sedan sport empat pintu dari Korea – Kia Stinger – kini sudahpun dikemaskini. Ketika dilancarkan pada pasaran Malaysia Julai tahun lalu, versi asas 2.0 T-GDI GT-Line dijual pada harga RM239,888, manakala untuk varian paling berkuasa 3.3 V6 GT adalah RM309,888.

Kini setelah harga berkenaan disemak semula, model 2.0 GT-Line akan dijual pada harga RM264,888, naik RM25,000, manakala model 3.3 V6 GT pula dijual pada harga RM383,888, atau RM74,000 lebih mahal dari sebelum ini.

Menurut Naza Kia, ketika mereka mengumumkan harga baharu September lalu sempena implemantasi semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), harga untuk Stinger tidak termasuk kerana mereka masih menunggu kelulusan dari kementerian kewangan. Harga baharu berkenaan hanya diterima hujung tahun lalu.

Dengan harga yang lebih tinggi ini, nampaknya beza antara Stinger dan pencabar terdekatnya, Mercedes-AMG C 43 4Matic kian rapat – hanya berbeza sekitar RM38,000, walaupun harga model Jerman tersebut turut meningkat setelah versi faceliftnya diperkenalkan.

Kia Stinger varian asas dijana oleh enjin empat-silinder 2.0 liter Theta II disuap oleh pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus, menjana 251 hp pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 353 Nm. Kuasa dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan automatik membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6 saat.

Manakala versi tertinggi GT pula, ia menerima enjin 3.3 liter V6 Lambda II dengan dua pengecas turbo, membolehkan ia membekalkan kuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Model paling buas ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

GALERI: Kia Stinger GT