Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

Walaupun sekarang model kenderaan sedan dilihat semakin tenggelam dengan jumlah SUV yang lebih meningkat, Nissan mendakwa mereka masih boleh menghidupkan gaya badan kenderaan seperti itu, dan berkemungkinan dengan menjadikannya lebih kepada crossover.

Contohnya ditunjukkan dengan kereta IMs Concept yang dibawa ke Detroit, di mana ia masih lagi adalah sebuah sedan, tetapi dijadikan lebih tinggi daripada biasa dan menggunakan rim 22 inci. Antara sebab ia ditinggikan adalah di bawah bahagian kabin terdapat pek bateri yang digunakan sebagai sumber kuasa (ini adalah kereta elektrik).

Menurut Nissan, gaya pada IMs ini melibatkan garisan mendatar dan menegak yang ringkas, namun masih terdapat lekuk pada pintu serta bonjolan pada bonet. Bahagian atas model konsep ini hampir keseluruhannya diperbuat daripada kaca termasuk bumbungnya, dan ia dipegang dengan tiang yang nipis.

Nissan IMs Concept – sedan/crossover elektrik 483 hp

Grafik “V-Motion” yang sebelum ini dapat dilihat menjadi identiti kenderaan Nissan pada bahagian gril kini digunakan pada bahagian lampu utama, dan ia turut dikata dapat membantu pengaliran udara. Sama di antara depan dan belakang, lampu kiri dan kanan kenderaan ini disambung dengan jalur lampu nipis, yang boleh berkelip dan bertukar warna kepada biru apabila berada dalam mod autonomous.

Seperti yang anda boleh lihat, IMs Concept mempunyai kemasan warna emas, seperti GT-R50 Italdesign. Ia digunakan pada pelbagai bahagian termasuk garis bumbung, dan dikata mendapat inspirasi daripada gelung gerhana. Corak yang digunakan pada atas bumbung, rim serta beberapa bahagian lain pula sebenarnya adalah corak tradisional Jepun yang dipanggil sebagai Asanoha.

Untuk membenarkan penumpang masuk ke dalam, pintu kenderaan ini boleh dibuka secara suicide menggunakan pemegang pintu “eClinch” yang tidak kelihatan, dan tiada tiang tengah yang akan mengganggu. Bagi bahagian tempat duduk, Nissan memanggilnya sebagai “2+1+2” yang sebenarnya bermaksud terdapat lima tempat duduk secara keseluruhan, dan untuk di belakang, dua tempat duduk di tepi boleh dilipat untuk dijadikan sebagai perehat tangan bagi tempat duduk tengah yang lebih besar, siap dengan perehat kaki.

Di atas papan pemuka, terdapat cetakan 3D struktur kumiko yang dikatakan oleh Nissan sebagai ringan dan menjimatkan ruang manakala terus di depan pemandu terdapat roda stereng dan skrin terapung yang cuma memberikan informasi penting. Apabila menggunakan mod pemanduan autonomous, roda stereng itu boleh masuk ke dalam dan tempat duduk zero-gravity padanya boleh dipusingkan untuk menghadap penumpang belakang.

Teknologi Augmented Reality (AR) Invisible-to-Visible Nissan turut digunakan pada kenderaan konsep ini dan ia membenarkan penumpang melihat apa yang mungkin tersembunyi dalam pandangan. Sistem ini menggunakan teknologi Omni-Sensing, dan antaranya membenarkan pemandu melihat di sebalik selekoh, memberi gambaran informasi jalan dan juga pembantu tiga dimensi yang terpancar di dalam kenderaan.

Kuasa penggerak kereta konsep ini datang daripada bateri 113 kWh, yang menyampaikannya kepada dua motor elektrik, dan semua empat tayarnya, dengan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 483 hp dan 800 Nm tork manakala jarak gerak dengan sekali cas pula adalah 610 km. Suspensi udara pada kenderaan ini dikatakan dapat berubah mengikut keadaan jalan, demi memastikan cengkaman yang baik dan selesa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required