Bagi menaikkan lagi semangat yang ada pada Toyota GR Supra Super GT Concept yang membuat penampilan di Tokyo Auto Salon 2019, Toyota turut membawa jentera-jentera perlumbaan Supra dari generasi-generasi sebelum ini yang pernah berlumba di Jepun. Kereta-kereta berkenaan adalah Fujitsu Ten Tom’s Supra 1990, Cerumo Supra 2001, Esso Ultraflo Supra 2002 dan Supra HV-R 2007.

Kita mulakan dengan Fujitsu Ten Tom’s Supra. Kereta ini dibina berasaskan Supra generasi ketiga MA70 dan berlumba dalam kejohanan Touring Car Jepun 1990. Oleh itu, kereta ini dihasilkan dengan spesifikasi FIA Group A atau production modified, bermaksud ia masih lagi menggunakan enjin asal enam-silinder 3.0 liter turbo 7M-GTE. Untuk tujuan homolagasi Group A juga, Supra Turbo Group A ini juga telah dihasilkan untuk versi jalan raya, hanya terhad kepada 500 unit.

Di sebelah Supra MA70 tersebut pula adalah jentera JGTC Cerumo Supra GT500 2001 dari generasi A80. Supra ini dipandu oleh pasangan Yuji Tachikawa dan Takeichi Hirokiri, dan kedua-dua mereka berjaya meraih gelaran juara keseluruhan kategori pemandu untuk kelas GT500 musim berkenaan.

Seterusnya adalah satu lagi jentera ikonik Esso Ultraflo Supra untuk perlumbaan Super GT tahun 2002. Jentera ini dipandu oleh pasangan Akira Iida dan Juichi Wakisaka – mereka turut mencapai keputusan yang sama iaitu juara keseluruhan Super GT 500 untuk musim 2002.

Akhir sekali adalah Supra HV-R yang dibina oleh pasukan Toyota Team Sard pada tahun 2007. Kereta ini pada asalnya adalah jentera Super GT, dan kemudian diubahsuai dengan menyumbatkan unit janakuasa hibrid petrol-elektrik AWD. Jentera berkenaan digunakan untuk berlumba dalam siri perlumbaan ketahanan Jepun Super Taikyu Endurance.

Supra HV-R ini berjaya menjuarai pusingan Tokachi 24 Jam pada musim berkenaan, dan ia diiktiraf sebagai kereta hibrid petrol-elektrik pertama di dunia yang memenangi perlumbaan.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Toyota Supra generasi baharu A90 bakal kembali semula ke Super GT bermula pada tahun 2020. Namun Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi teknikal dan enjin apa yang bakal digunakan untuk kereta lumba tersebut.

Tetapi tahukah anda untuk generasi A80 sebelum ini Supra tidak pernah menggunakan enjin asalnya iaitu 2JZ-GTE dalam perlumbaan Super GT? Ini kerana dalam perlumbaan ini tidak dinyatakan ia perlu menggunakan enjin asli, sebaliknya hanya dihadkan pada aspek kuasa kuda.

Untuk jentera JGTC 1995, Supra dijana oleh enjin 2.1 liter empat silinder turbo 4T-GTE, kemudian digantikan dengan enjin empat-silinder 2.0 liter turbo 3S-GTE seperti pada kereta lumba Toyota Celica WRC. Enjin-enjin berkenaan tidak mempunyai masalah untuk ditala bagi menghasilkan kuasa maksima 500 hp, dan berbanding enjin enam-silinder 2JZ, rekaan empat-silinder ini lebih ringan dan kompak dan membolehkan ia diletak lebih rendah dan hampir dengan kokpit, bagi mendapatkan nisbah berat dan titik graviti lebih baik.

Namun pada era awal Y2k, jentera Supra Super GT mula dijana oleh enjin 4.3 liter V8 3UZ-FE tanpa bantuan turbo. Enjin berkenaan dipilih kerana dapat menghasilkan tork linear yang lebih besar dari enjin-enjin turbo berkapasiti kecil.

Setelah jentera Supra generasi baharu ini berlumba dalam siri Super GT nanti, ia bukan sahaja akan membawa kembali nama Supra dalam Super GT, malah nama Toyota itu sendiri. Ini kerana apabila Supra direhatkan pada akhir musim 2006, ia kemudian diambil alih oleh divisi mewahnya iaitu Lexus bermula pada 2007.