Kita dan pasaran ASEAN lain telah pun menerima Ford Ranger 2019 dengan enjin turbodiesel 2.0 liter Ecoblue baharu tahun lalu. Namun untuk pasaran Eropah, mereka hanya akan menerima versi ini bermula sekitar pertengahan tahun ini. Sebelum trak pikap yang disegarkan dengan unit penjana baharu itu dilancarkan, Ford telah menyiarkan satu video iklan baharu bagi menunjukkan kebolehannya.

Video berdurasi 1 minit 15 saat bertajuk “Tarik sahaja apa yang anda mahu” berkenaan memaparkan Ranger pasaran Eropah mampu untuk menarik 20-karavan serentak tanpa masalah, dengan beban menunda sekitar 20-tan, dakwa Ford. Ia secara tidak langsung membentuk satu konvoi sepanjang 100-meter dan hanya ditarik oleh sebuah trak pikap.

Namun menurut Ford, video ini sebenarnya bukanlah dilakukan dijalan raya awam, sebaliknya dibuat di litar ujian mereka, Millbrook Proving Ground di UK. Ia juga dijayakan oleh pemandu aksi stunt, Paul Swift.

“Ini merupakan stunt yang paling perlahan pernah saya buat- tetapi juga yang paling sukar. Cuba untuk memastikan karavan bergerak lurus pada laluan sempit sambil membolehkan kereta memotong merupakan cabaran yang sukar, dan ia benar-benar mendemostrasikan kebolehan Ranger,” kata Swift.

Ranger pasaran Eropah ini akan menerima enjin baharu berkenaan dalam tiga talaan kuasa berbeza. Model asas dan pertengahan dengan pengecas turbo tunggal menghasilkan kuasa 132 PS/340 Nm dan 173 PS/420 Nm. Manakala versi tertinggi Wildtrak (yang digunakan pada video ini) diberikan dua pengecas turbo menghasilkan 213 PS/500 Nm. Kesemua varian digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan baharu.

Berbanding pasaran Malaysia, kita masih lagi ditawarkan dengan enjin lama 2.2 liter berkuasa 160 PS/385 Nm untuk versi asas XL dan XLT. Manakala untuk Wildtrak, pasaran tempatan menerima enjin diesel baharu Ecoblue 2.0 liter Si-Turbo berkuasa 180 PS/420 Nm. Apa yang istimewa, Malaysia turut ditawarkan dengan versi berprestasi tinggi Ranger Raptor yang dilengkapi badan lebih lebar, suspensi Fox Racing dan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar berkuasa 213 PS/500 Nm.

GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2019 pasaran Eropah