PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Toyota Vios 2016 yang masuk ke pasaran Malaysia pada awal Oktober tahun yang sama membawakan perubahan mekanikal yang dianggap sebagai faktor X untuknya. Ia hadir dengan penjana kuasa baharu iaitu 2NRFE 1.5 liter empat-silinder Dual VVT-i yang menggantikan enjin 1NZ-FE VVT-i yang digunakan pada model-model sebelum ini. Sebagai pengetahuan, enjin 2NR-FE ini turut disertakan dengan sistem pemasaan injap bervariasi pada injap kemasukan dan injap ekzos.

Walau bagaimana pun, ia memiliki kuasa yang kurang daripada enjin sebelum ini – 1NR-FE iaitu 107 PS pada takat 6,000 rpm (-2 PS) dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm (-1 Nm). Ini bukan bermakna Toyota sengaja ‘merendahkan gred’ bahagian enjin semata-mata mahu mendapatkan penjimatan bahan api tetapi lonjakan kuasa yang berkurangan.

Alasan Toyota, mereka mahu memadankan enjin ini juga dengan transmisi yang lebih berkuasa iaitu CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan. Dan sifat mekanikal tersebut masih digunakan untuk barisan Vios terkini iaitu model 2019 yang dilancarkan pada 24 Januari lalu.

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Bagi barisan Vios 2019, ia hadir dalam tiga varian – Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. ditawarkan pada harga RM77,200 bagi model asas 1.5J, manakala varian pertengahan 1.5E pula berharga RM81,200. Untuk spesifikasi tertinggi 1.5G pula berharga RM87,300. Semuanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans. Dan semua varian didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan tanpa had perbatuan.

Seminggu sebelum dilancarkan, UMW Toyota membawa media permotoran tempatan memandu uji Vios 2019 melibatkan varian tertinggi, 1.5G. Perjalanan bermula dari ibu pejabatnya di Shah Alam, sebelum singgah di bandar Melaka dan seterusnya menuju ke Desaru, Johor.

Kalau diikutkan, prestasi dan pengendaliannya tidak berbeza dengan model 2016 yang pernah diuji dahulu, memandangkan mekanikalnya masih kekal sama. Namun adakah ia mampu mengatasi pencabar terdekat Vios ialah Honda City? Miliki kapasiti enjin yang sama, City mampu menghamburkan kuasa sehingga 119 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 kW pada 4,200 rpm. Ini bermakna, City mampu memberikan lebihan prestasi dengan +12 PS dan +5kW berbanding Vios.

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Memang kalau disebut pasal prestasi dan kuasa, City lebih memikat, namun jika dikaitkan dengan keselesaan dalam pengendalian, ternyata ia memihak kepada Vios.

Lonjakan kuasa Vios jika dari titik sifar ke pecutan yang lebih tinggi, ia agak mengambil sedikit masa untuk dikerahkan. Tetapi apa bila kuasa berada di puncak, kerahan pendikitan tidak lagi diperlukan. Ia boleh memecut sehingga 180 km/j dengan kestabilan kenderaan pada tahap sederhana. Kena diingat, Vios bukanlah kenderaan yang sepatutnya ‘berani’ dilenjan secara agresif walau pun mungkin ada pemandu yang ‘keras hati’ untuk berbuat demikian.

Vios 2019 turut dilengkapi dengan mod pemanduan Sport, dan bila memilih untuk mengendalikannya dengan gandingan gear manual dan pedal penukar gear, prestasi enjinnya lebih pantas untuk memuncak namun masih dirasakan tidak jauh beza dengan mod pemanduan biasa.

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Untuk pengendaliannya pula, ia menyerlahkan keselesaan yang sederhana, tetapi lebih baik berbanding pesaingnya, Honda City. Suspensinya terasa agak lembut, jadi olengan badan dan kesan bumpy agak mudah terasa walau pun tidak begitu keterlaluan, terutamanya ketika memandu di selekoh atau pun merentasi permukaan jalan yang beralun.

Namun, sewaktu mengendalikannya, sesekali fokus pemanduan sedikit terganggu dengan bunyi yang dihasilkan daripada isyarat keselamatan dari titik buta, Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW). Terpaksa pula bunyi isyarat itu dimatikan kerana agak terganggu.

Walau tiada perubahan mekanikal, namun, dimensinya ada sedikit peningkatan, di mana Vios 2019 ini 15 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, kini dengan 4,425 mm dan lebarnya juga ditambah sebanyak 30 mm menjadi 1,730 mm. Walau bagaimanapun, ketinggian dan jarak rodanya masih kekal sama – masing-masing 1,475 mm dan 2,550 mm. Begitu juga dengan ruang butnya dikekalkan pada kapasiti 506 liter. Jejari pusingan bagi varian 1.5G ini mampu dicapai sehingga 5.7 meter.

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Untuk aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS dengan EBD dan Bantuan Brek, pengesan parkir (varian 1.5E dan 1.5J hanya untuk belakang sahaja), tujuh beg udara dan Isofix. Tambahan ciri keselamatan untuk varian 1.5G ialah Paparan Titik Buta (BSM) dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Faktor X bagi Vios 2019 ini sudah tentu datangnya dari imej yang dipertingkatkan. Dalam sesi pandu uji ini, kami diberikan varian 1.5G iaitu spesifikasi tertinggi yang pastinya imejnya lebih lengkap dan menyerlah, berbanding dua lagi varian iaitu 1.5J dan 1.5E.

Tarikan yang ‘wow’ pada Vios 2019 ini memang meninggalkan imej ‘pakcik-makcik’ seperti model dulu-dulu, kerana kini ia tampil lebih ranggi dan sporty. Ini langkah pembaharuan yang dibawakan oleh Toyota dalam barisan model terkininya. Sentuhan yang lebih moden dan bergaya dalam rekaan yang dipertaruhkan.

Untuk luarannya, ciri baharu yang diberikan untuk semua varian termasuklah lampu utama sedikit langsing dengan fungsi Follow Me Home dengan gril yang lebih nampak garang dan lampu nyalaan siang LED. Jaluran krom yang ada pada bampar hadapan pada versi terdahulu tidak dikembalikan bagi versi 2019.

Namun lebih istimewa untuk varian tertinggi 1.5G, ia dilengkapi lampu utama projector halogen, juga lampu kombinasi belakang LED, cermin sisi auto-lipat, gril hadapan berwarna/bersadur, lampu kabus belakang dan rim aloi 16-inci yang dibaluti tayar berprofil 195/50R16.

Masuk saja ke dalam kabinnya, didapati beberapa ciri baharu turut ditampilkan iaitu kemasan berwarna hitam, tempat duduk balutan kulit, skrin Optitron MID dengan TFT bersaiz 4.2”, pendingin hawa automatik dan skrin DVD-AVX dengan USB Mirroring 6.8-inci. Selain itu, ia turut menampilkan ciri standard yang turut ada pada semua varian termasuklah sistem kemasukan pintar dan butang penghidup enjin, roda stereng tiga-jejari balutan kulit, dan suis mod pemanduan (Sport Mode & ECO Mode).

Dan varian ciri tambahan bagi varian tertinggi ini termasuklah suis kawalan audio, MID dan BT pada roda stereng, tombol gear balutan kulit, pedal penukar gear, HDMI, empat tempat letak cawan, enam pembesar suara dan perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW) serta Panoramic View Monitor.

PANDU UJI: Toyota Vios 2019 – imej bergaya, karakter biasa; pilihan terbaik untuk sedan mampu milik?

Duduk sebagai penumpang di hadapan mahu pun belakang masih terasa keselesaan yang jitu. Ruang kaki dan ruang kepala memuaskan. Walau bagaimana pun, bunyi bising dari luar (seretan tayar, angin dan lain-lain) adakalanya jelas kedengaran masuk ke kabin. Namun itu bukanlah masalah utama. Yang penting, keselesaan memang boleh dipuji terutamanya jika melibatkan perjalanan jauh.

Untuk sedan saiz sederhana mampu milik, Vios 2019 dilihat sebagai pemilikan yang boleh dianggap berbaloi. Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) antara RM77,200 hingga RM87,300, ia sebuah kereta keluarga yang masih boleh memberikan keseronokan dan keselesaan sewaktu pengendalian.

Malah dengan suntikan imej yang lebih segar dan menarik, Vios 2019 tidak juga kalah dengan Honda City dan Mazda 2 sedan. Apatah lagi Vios masih dianggap sebagai sedan popular di sini, dan kredibilitinya masih kekal diyakini. Jadi, dengan penawaran yang disediakan ini, Vios dilihat mampu terus menjadi model terhangat Toyota di Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • TreeHugger on Feb 02, 2019 at 10:53 am

    Unit tork adalah Nm bukan kW

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 1
  • Vios 2019 ni bila bawa kurang bunyi angin berbanding Honda City. Aircond sampai belakang sbb blower dia mmg kuat

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required