Untuk 2019, MPV Mercedes-Benz V-Class diberikan facelift kecil dari segi penampilan. Selain itu ada juga penambahan kit keselamatan baru, dan lebih penting sebuah enjin diesel yang juga baru.

Dari sudut keselamatan, V-Class ini datang dengan ciri Active Brake Assist (brek kecemasan automatik) dan Highbeam Assist Plus sebagai pilihan – kedua-duanya di”ambil” dari kenderaan penumpang Mercedes yang lain.

Perubahan paling besar ialah enjinnya; menggunakan unit terbaru 2.0 liter OM 654 turbodiesel yang pertama kali diperkenalkan untuk W213 E-Class. Ini menggantikan enjin lama 2.2 liter OM 651. Model ini ditawarkan dalam versi V 250 dan V 300 – dengan output masing-masing 190 hp/440 Nm dan 239 hp/500 Nm. V 300 juga menampilkan ciri “overboost” yang menyediakan 30 Nm tambahan bagi tempoh terhad.

Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.9 saat, dan kelajuan maksimumnya ialah 200 km/j. Penggunaan minyak bagi kedua-dua versi ini ialah antara 5.9 hingga 6.3 liter bagi setiap 100 km. Kotak gear manual enam-kelajuan masih ditawarkan, tetapi satu lagi pilihan ialah transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan yang menggantikan versi 7G-Tronic dahulu. Sistem pacuan semua roda 4Matic ada sebagai pilihan.

Versi elektrik sepenuhnya juga ada, sebagai tambahan kepada model eVito. Model eVito menggunakan motor elektrik 85 kW (116 hp)/300 Nm, dengan bateri lithium-ion 41.4 kWh dengan jarak perjalanan 150 km. Bagi V-Class EV pula, ia dijangka akan dilengkapi dengan janaan kuasa yang lebih tinggi, yang akan dipamerkan sebagai EQV Concept pada pameran Geneva nanti.