Ketika majlis pengenalan label ASEAN NCAP baru, turut diumumkan ialah keputusan ujian perlanggaran bagi Toyota Camry 2019. Model terkini Camry versi pemasangan Thailand dalam varian 2.0G mencatatkan penarafan lima-bintang dengan mata keseluruhan 91.47%.

Pecahan mata yang diperoleh model sedan segmen D itu adalah seperti berikut; 35.31 mata daripada 36 mata bagi pelindungan penumpang dewasa (AOP) – terdiri daripada 15.31 mata bagi pertembungan sisi hadapan, 16 mata penuh bagi impak bahagian tepi dan empat mata penuh bagi teknologi pelindungan kepala (HPT). Dengan AOP menyumbang sebanyak 50% daripada mata keseluruhan, peratusan yang dicapai Camry ialah 49.04%.

Bagi pelindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula, Camry memperoleh 44.44 mata daripada 49 mata keseluruhan, termasuk 16 mata penuh bagi impak hadapan, lapan mata penuh bagi hentaman dari tepi, 11.44 mata bagi pemasangan mudah dan sembilan mata bagi penilaian ciri mesra kerusi kanak-kanak. Ini memberikan peratusan sebanyak 22.68% daripada 25.

Akhir sekali, aspek bantuan keselamatan yang melengkapinya, di mana Camry berjaya mencatatkan 14.22 mata daripada 18. Ini termasuk lapan mata penuh bagi teknologi brek dan penghindaran perlanggaran yang cekap, tiga mata bagi amaran tali keledar, 1.22 mata bagi teknologi titik buta dan dua mata penuh bagi teknologi bantuan keselamatan termaju. Ini menjadikan peratusan keseluruhan yang dicapai ialah 19.75% daripada 25.

Di Malaysia, Camry hanya ditawarkan dalam satu varian, 2.5V dan dijual pada harga RM189,900. Ia dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dan EBD dengan bantuan brek, kawalan kestabilan, ISOFIX di belakang dan ciri lengkap bantuan pemandu Toyota Safety Sense. Di dalamnya termasuk sistem pra-perlanggaran (brek kecemasan automatik), Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control dan Automatic High Beam.