Toyota Prius C dikatakan bakal bersara tidak lama lagi. Menurut Motor1, hatchback hibrid kompak ini bakal digantikan dengan Corolla Hybrid yang lebih menjimatkan bahan api dan lebih besar. Timbalan presiden kumpulan Pemasaran Toyota, Ed Laukes memberitahu penerbitan terbabit: “Anda mungkin tidak akan nampak Prius C dalam tempoh yang lebih lama. Prius C telah berkhidmat sebaiknya.”

Produksi bagi Prius C (atau dikenali sebagai Toyota Aqua di Jepun) bermula pada akhir 2011, dan ia diletakkan di bawah jentera yang lebih kecil, berbanding Prius standard. Kuasanya dihasilkan dari enjin 1NZ-FXE 1.5 liter Atkinson cycle, menghasilkan 74 PS dan 111 Nm.

Enjin tersebut bekerjasama dengan motor elektrik/bateri Ni-Mh menawarkan 61 PS dan 169 Nm, dengan kuasa keseluruhan yang terhasil mencecah 100 PS. Angka prestasi ini termasuk 0-100 km/j dalam 10.7 saat dan penggunaan bahan api sekitar 35.4 km per liter, di bawah kitaran ujian JC08.

Di USA, jualan untuk Corolla Hybrid baharu akan bermula bulan hadapan. Ia dijanakan oleh sistem Hybrid Synergy Drive yang dipertingkatkan daripada Prius yang baharu. Ia turut menggandingkan unit 2ZR-FXE 1.8 liter empat-silinder Atkinson-cycle dengan e-CVT dan dua motor elektrik. Terdapat juga pembezaan pra-bebanan yang menghantar tork di antara roda kiri dan kanan pada kelajuan rendah, dan bertindak sebagai pembezaan terbuka pada beban enjin yang lebih tinggi.

Jumlah keseluruhan kuasa mencecah 121 hp, dan penggunaan bahan api didakwa sekitar 5.6 liter per 100 km (standard EPA). Motor elektrik dikuasakan oleh bateri hidrida nikel-logam baharu yang menampilkan teknologi Hyper-Prime Nickel, yang membolehkan prestasi bateri lebih baik dengan pakej yang lebih kecil dan ringan. Ini membolehkan bateri diletakkan di bawah tempat duduk belakang tanpa mengambil ruang pada but, membolehkan tempat duduk belakang dibaringkan 60:40 dan membolehkan pusat grafiti yang lebih rendah berfungsi.

Bagi kelengkapan yang lain, Corolla Hybrid didatangkan dengan sistem infotainmen Entune 3.0 dan skrin sesentuh lapan-inci secara standard, bersama lapan beg udara dan Toyota’s Star Safety System. Semua model Corolla 2020 juga akan dilengkapi secara standard dengan Toyota Safety Sense 2.0, ini termasuk PCS (Pre-Collision System), Full-Speed DRCC (Dynamic Radar Cruise Control), LDA (Lane Departure Alert) w/ Steer Assist, LTA (Lane Tracing Assist), AHB (Automatic High Beam) dan RSA (Road Sign Assist).