Berita baik untuk mereka yang berminat dengan SUV segmen-C Volkswagen Tiguan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan bahawa bermula Mac 2019, model tersebut akan diberikan dua ciri yang dipertingkat, tanpa sebarang tambahan harga.

Ciri pertama adalah pada bahagian luaran iaitu lampu belakang LED penuh yang direka semula membolehkan pengguna jalan raya lain melihatnya dengan lebih jelas. Manakala satu lagi adalah pada bahagian dalaman di mana pemandu akan menerima paparan meter digital Active Info Display (AID) 2019.

AID berkenaan memberikan paparan beresolusi tinggi yang menggabungkan grafik dua- dan tiga-dimensi untuk sistem navigasi serta pelbagai lagi fungsi lain. Pemandu boleh memilih tiga tema berbeza, dengan 30 pilihan kombinasi lain. Meter-meter utama juga boleh diubah bagi memaparkan pelbagai data, manakala untuk navigasi anda boleh memilih peta 3D penuh.

Tiada perubahan janakuasa diberikan kali ini, dimana kesemua model Tiguan pasaran Malaysia dijana enjin 1.4 liter TSI empat-silinder turbo berkuasa 150 PS/250 Nm. Kuasa disampaikan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat.

Seperti yang dinyatakan tadi, tiada peningkatan harga untuk model yang dikemaskini ini. Volkswagen Tiguan Highline dijual pada harga RM165,990, manakala Tiguan JOIN pula boleh dibeli dengan harga RM175,990. Pembelian akan disertakan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma selama tiga tahu dan juga bantuan tepi jalan selama lima-tahun.