Sempena berlangsungnya Volkswagen Fest di Setia Alam minggu ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan edisi khas ‘JOIN’ untuk model hatchback Polo, sedan segmen-B Vento, SUV Tiguan dan juga sedan segmen-D Passat.

JOIN ini sebenarnya adalah pakej aksesori dan ia hanya boleh di tambah jika anda memilih Polo, Vento Comfortline dan Highline, Tiguan Highline dan Passat Comfortline. Untuk Polo, ia akan diberikan aksesori JOIN yang terdiri dari scuff plate sisi, kemasan pada penutup bonet belakang, spoiler belakang berwarna hitam, kemasan sisi, tempat duduk balutan kulit, lapisan filem penapis cahaya cermin VW dan juga logo ‘JOIN’ pada tiang-B.

Polo JOIN ini masih dijana enjin petrol NA 1.6 liter MPI berkuasa 105 PS/153 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik konvesional. Empat warna ditawarkan untuk Polo JOIN ini iaitu Candy White, Carbon Steel Grey, Flash Red dan Reflex Silver.

Untuk Vento JOIN pula, ia diberikan kemasan pada bonet belaakng, spoiler belakang, kemasan sisi (semuanya berwarna hitam), scuff plate sisi, tempat duduk kulit serta filem penapis cahaya cermin VW. Vento Comfortline dijana enjin 1.6 liter MPI sama seperti Polo, manakala varian tertinggi Highline menerima enjin petrol turbo 1.2 liter TSI berkuasa 105 PS dan tork maksima 175 Nm, digandingkan dengan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan.

Warna yang ditawarkan untuk Vento JOIN adalah Candy White dan Carbon Steel Grey bagi varian Comfortline, manakala Carbon Steel Grey dan Deep Black untuk varian Highline.

Bagi SUV segmen-C Tiguan Highline pula, pakej JOIN ini akan diberikan tambahan aksesori termasuk “elemen rekaan hadapan” (kemasan berwarna perak pada bahagian bawah bampar), spoiler belakang (hitam), kemasan pintu tailgate belakang, tip ekzos krom, pelindung load lip, footboard dan lapisan filem penapis cahaya cermin VW.

Tiguan Highline JOIN dijana enjin petrol turbo 1.4 liter TSI berkuasa 150 PS/250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DSG enam-kelajuan untuk memacu roda hadapan. Warna yang ditawarkan untuk SUV ini adalah Deep Black, Pure White dan Tungsten Silver.

Akhir sekali, Passat Comfortline JOIN pula diberikan dengan aksesori seperti pedal sport aluminium, scuff plate sisi, rim aloi 18-inci “Marseille” baharu, dan lapisan filem penapis cahaya cermin VW. Sedan ini dikuasakan oleh enjin petrol turbo 1.8 liter TSI menjana 180 PS/250 Nm, digandingkan dengan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan . Warna badan yang ditawarkan adalah Deep Black, Manganese Grey, Pure White dan Reflex Silver.

Menurut VPCM, pakej JOIN untuk Polo dan Vento adalah bernilai RM7,000, Tiguan RM 10,000 dan Passat pula RM12,000. Manakala harga penuh pula ialah; RM81,990 untuk Polo JOIN, RM91,690 untuk Vento Comfortline JOIN, RM98,490 untuk Vento Highline JOIN, RM175,990 untuk Tiguan Highline JOIN dan RM188,690 untuk Passat Comfortline JOIN. Harga yang dinyatakan ini adalah sebelum promosi, pendaftaran dan insuran.

Skim perlindungan harga selepas SST VPCM masih lagi berjalan sehingga 30 November ini. Jika anda berminat, 25 unit model-model dalam rangkaian JOIN ini akan dijual di aplikasi beli-belah dalam talian Lazada. Bermula 12 hingga 30 Oktober, pelanggan ditawarkan model-model berkenaan pada harga biasa namun menerima pakej JOIN secara percuma.

Bayaran tempahan diperlukan untuk mereka yang berhajat untuk membeli barisan model berkenaan dengan jumlah RM799 untuk Polo dan Vento, atau RM 1,699 untuk Tiguan dan Passat di Lazada. Wakil VW akan menghubungi anda selepas itu bagi melengkapkan pembelian dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

GALERI: Volkswagen Polo Join

GALERI: Volkswagen Vento Join

GALERI: Volkswagen Passat Join

GALERI: Volkswagen Tiguan Join