Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

Selepas dipertontonkan buat kali pertama kepada dunia Oktober tahun lalu, Triumph Scrambler 1200 kini sudah pun tiba di Malaysia. Ia ditawarkan dalam dua versi iaitu XC yang asas pada harga RM80,900 dan XC yang mempunyai senarai kelengkapan lebih tinggi pada harga RM86,900. Harga ini tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

Kedua-dua model baru ini menggunakan enjin dua silinder yang sama, iaitu unit dua silinder selari 1,200 cc High Power yang ditala khas untuk tunggangan offroad, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 88.7 hp pada 7,400 rpm dan 110 Nm tork pada 3,950 rpm. Jumlah ini bersamaan 12.5% lebih berkuasa berbanding Bonneville T120 dan 38% lebih tork berbanding Street Scrambler 900 cc.

Antara ciri baru pada Scrambler 1200 ini adalah panel instrumen TFT-LCD berwarna penuh yang didatangkan dalam beberapa pilihan tema dan boleh diletakkan dengan nama pemilik. Kemudiannya, ia juga menyediakan mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Offroad, Sport dan satu lagi mod khas yang boleh dilaras mengikut kemahuan.

Bagi Scrambler XE, ia mendapat tambahan satu lagi mod iaitu OffRoad Pro, yang akan menutup sistem brek ABS dan kawalan cengkaman. Selain daripada itu, XE juga dilengkapi dengan unit pengukur inertia (IMU), seterusnya disambung dengan sistem Cornering ABS dan Cornering Traction Control.

Antara kelengkapan lain yang ada pada Scrambler 1200 baru ini adalah pemula enjin tanpa kunci, klac torque assist, pengecas USB di bawah tempat duduk dan cruise control. Apabila mendapatkan modul Bluetooth yang dijual berasingan, pemilik boleh menyambung panel instrumen motosikal ini kepada fungsi navigasi Google, telefon pintar untuk menjawab telefon dan mendengar musik, serta kawalan kamera GoPro.

Suspensi yang digunakan pula adalah gabungan antara dua jenama iaitu Showa untuk fork hadapan yang boleh dilaras dan Ohlins untuk monoshock belakang (juga boleh dilaras). Bezanya, XC disediakan dengan jarak gerak suspensi 200 mm manakala XE lebih panjang dengan 250 mm. Brek adalah sama untuk kedua-dua model – angkup Brembo Monobloc M50 empat piston dengan cakera 320 mm berkembar di hadapan dan angkup Brembo dua piston dengan cakera 255 mm tunggal di belakang.

Triumph Scrambler 1200 XC dan XE dilancar di M’sia – pelbagai kelengkapan premium, harga dari RM81k

Perbezaan lain di antara dua model ini adalah XC mempunyai tinggi tempat duduk 840 mm manakala XE lebih tinggi, menjadi 870 mm. Rim pula adalah unit 21 inci 36 jejari di hadapan, 17 inci 32 jejari di belakang, dan dibalut dengan tayar tanpa tiub Metzeler Tourance.

Bagi menjadikan Scrambler 1200 ini lebih unik untuk setiap pemilik, Triumph turut menyediakan lebih 80 pilihan aksesori dalam katalog mereka, termasuk dua kit inspirasi yang dinamakan sebagai Escape untuk kegunaan jelajah dan Extreme untuk kegunaan offroad lebih kasar.

GALERI: Triumph Scrambler 1200 XE 2019


GALERI: Triumph Scrambler 1200 XC 2019


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required