Selepas ditunjukkan sebagai teaser bulan lalu, Hyundai akhirnya mendedahkan secara penuh Tucson N Line, ia satu varian yang sporty bagi SUV saiz sederhana tersebut. Walaupun secara teknikalnya ia lebih kepada pakej penampilan, Tucson N Line ini juga mendapat satu lagi pilihan enjin baru, jenis mild hybrid.

Sebelum ini melalui Tucson facelift, anda akan dapat melihat pilihan enjin diesel 2.0 liter CRDi 185 PS yang digabungkan dengan sistem hibrid 48 volt. Sekarang untuk Tucson N Line ini, sistem 48 volt sama dipadankan pula dengan enjin 1.6 liter Smart Stream 136 PS, dan dikatakan dapat memberi pengurangan penggunaan bahan api sebanyak 11%. Sistem ini terdiri daripada mild hybrid starter generator (MHSG), converter voltan rendah DC/DC (LDC), inverter dan bateri polimer lithium ion 0.44 kWh.

Turut ditawarkan sekali adalah pilihan enjin 2.0 liter diesel seperti yang disebutkan tadi, dan enjin petrol turbo 1.6 liter T-GDI berkuasa 177 PS, dan semua enjin ini mematuhi tahap emisi Euro 6d Temp.

Selain daripada itu, Hyundai juga telah melakukan sedikit perubahan pada bahagian casis Tucson N Line ini. Model yang menggunakan enjin petrol dan diesel 2.0 liter menerima tetapan maklum balas stereng yang lebih linear dan tepat, manakala suspensi pula dijadikan lebih keras, sebanyak 8% untuk hadapan dan 5% di belakang.

Pada bahagian luar, Tucson N Line ini menggunakan bampar hadapan yang direka semula dengan bucu yang lebih berpetak, lampu siang LED berbentuk seperti panah, gegelung hitam pada lampu utama, gril yang lebih gelap, pelindung cermin sisi dan spoiler warna hitam berkilat, pemegang pintu sama warna dengan badan, diffuser belakang lebih sporty serta rim 19 inci warna hitam.

Di dalam, anda akan menemui tempat duduk gabungan kulit dan suede bersama penjenamaan N, serta jahitan benang merah pada roda stereng dan tempat duduk. Melengkapkan penampilan ciri sporty ini adalah pedal aloi dan tombol gear yang dibalut dengan kulit serta jalur merah.