Mac lalu, Hyundai Tucson generasi ketiga versi facelift telah pun diperkenalkan ketika berlangsungnya New York International Auto Show (NYIAS). Kini model tersebut telah pun dibawa ke Eropah dengan produksi yang bakal bermula bulan ini, manakala jualannya akan bermula musim panas 2018.

Untuk pasaran Eropah, Tucson facelift turut ditawarkan dengan sistem hibrid ringkas 48-V yang digandingkan sekali dengan enjin turbodiesel 2.0 liter berkuasa 186 PS, sama seperti ‘sepupu’nya iaitu Kia Sportage facelift. Sistem hibrid ringkas tersebut terdiri dari unit motor penghidup penjana (MHSG), penukar DC/DC voltaj rendah (LDC), inverter dan juga bateri lithium-ion 0.44 kWj. Keseluruhan sistem tersebut mampu memberikan tujahan elektrik sehingga 12 kW (16 hp) ketika pendikit ditekan sepenuhnya.

MHSG tersebut turut mampu untuk menyahcas bateri bagi mengurangkan beban enjin ketika pecutan ringan dilakukan, dan memulihkan tenaga kinetik bagi mengecas semula bateri ketika nyah pecut. Hyundai menjangkakan tujuh peratus penjimatan bahan api dan pencemaran udara pada ujian kitaran NEDC Eropah dengan menggunakan kotak gear enam-kelajuan manual standard. Sistem pacuan semua roda turut dipadankan secara standard, manakala kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu ditawarkan sebagai opsyen.

Sistem hibrid ringkas ini juga turut dipadankan pada enjin turbodiesel 1.6 liter Smart System baharu, yang hadir dengan dua talaan kuasa iaitu 115 PS dan 133 PS. Kedua-dua versi tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan pacuan roda hadapan sebagai ciri standard, manakala untuk versi kuasa 133 PS, pembeli turut boleh memilih untuk menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Versi petrol tanpa sistem hibrid masih lagi ditawarkan untuk Tucson dengan dua jenis enjin iaitu 1.6L NA dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 132 PS, dan juga versi turbo dengan kapasiti dan sistem suntikan yang sama menghasilkan 177 PS. Pilihan transmisi juga masih sama dimana versi NA menerima kotak gear enam-kelajuan manual dan pacuan hadapan sebagai standard, manakala model T-GDI turut boleh dipilih menggunakan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar automatik serta pacuan semua roda. Kesemua enjin ini mematuhi piawaian emisi standard Euro 6c.

Seperti yang telah didedahkan sebelum ini, Tucson menerima pelbagai tingkat taraf pada bahagian luaran dan dalaman bagi fasa penyegaran kali ini. Ini termasuk lampu hadapan LED penuh, gril cascading signatur Hyundai baharu serta rekaan liang kemasukan udara yang lebih agresif. Pada bahagian belakang pula, ia diberikan lampu dengan grafik baharu, bampar yang dirombak semula dan juga tip ekzos baharu. Pelbagai rim dengan rekaan baharu turut ditawarkan dengan pilihan saiz bermula 17-inci hingga 19-inci.

Masuk ke kabin pula, Tucson turut diberikan papan pemuka yang direka seakan sama dengan Kona dan Santa Fe, menampilkan liang penghawa dingin menegak dan skrin sesentuh untuk sistem infotaimen “terapung” bersaiz tujuh-inci, yang turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun pembeli turut ditawarkan dengan opsyen skrin bersaiz lapan-inci dengan fungsi navigasi 3D bersama sistem bunyi premium Krell dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi.

Ciri lain yang turut dibekalkan termasuk port pengecas USB pada bahagian belakang dan juga sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense yang terdiri dari Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Amaran Had Laju Pintar (ISLW), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC) dan Monitor Paparan Sekeliling (SVM).