Kia Cerato yang anda lihat ini bukanlah versi tiruan. Ia sebenarnya adalah versi yang dikeluarkan sendiri oleh Kia untuk pasaran China, dan dipanggil sebagai K3, sama seperti di Korea Selatan. Ia akan dilancarkan tidak lama lagi di sana, dan laman web Sina Auto News telah mendapat gambar awal yang menunjukkan keistimewaan model ini.

Paling jelas adalah di bahagian depan, di mana K3 pasaran China ini menggunakan gril “tiger nose” yang lebih besar dan ia didatangkan dalam dua pilihan iaitu satu yang mempunyai corak segi tiga kecil manakala satu lagi dengan jalur menegak. Digabungkan dengan bampar yang juga mempunyai kemasan krom di bawah, kereta ini sedikit menyerupai Maserati Quattroporte.

Pada bahagian belakang, walaupun bentuk lampunya masih lagi sama, grafik dalamannya telah diubah dan mempunyai jalur merah yang menyambungkan antara lampu kiri dan kanan. Bampar juga telah direka semula dan kini tidak lagi mempunyai lampu undur dan penunjuk arah padanya (telah dimasukkan semula pada unit utama lampu belakang).

Menurut laman web tersebut, pilihan enjin untuk K3 ini juga nanti dirombak semula. Sementara pasaran lain cuma mendapat pilihan enjin petrol NA 2.0 liter dan 1.6 liter TGDI turbo untuk varian GT, pasaran China pula akan mendapat enjin 1.5 liter NA 115 hp dan 1.4 liter turbo 130 hp. Turut dimasukkan dalam senarai adalah versi plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol 1.6 liter 105 hp dengan motor elektrik.