Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

2019 Forte

Selepas imej teaser disiarkan oleh Kia tempoh hari, jenama dari Korea berkenaan kini mendedahkan sepenuhnya model generasi baharu Forte pada North American International Auto Show yang berlangsung di Detroit. Menurut Kia, model yang juga dikenali sebagai Cerato di Malaysia atau K3 di Korea Selatan berkenaan kini menawarkan bahagian dalaman yang “mendahului pesaing sekelas” dan juga tahap keselesaan serta penjimatan bahan api lebih tinggi bersama teknologi bantuan pemanduan terkini.

Menurut Kia, Forte 2019 berkenaan direka dengan elemen yang diambil dari sedan flagship mereka iaitu Stinger, menampilkan hud hadapan yang panjang, dan juga dek pendek bagi memberikan rupa seperti sebuah fastback. Titik bahagian cowl dianjakkan lima-inci kebelakang bagi memberikan rupa yang nampak lebih lincah.

Tidak sukar untuk mengagak inspirasi yang diambil ketika rekaan muka sedan baharu ini dibuat kerana ia sememangnya seiras dengan Stinger. Forte 2019 diberikan gril signatur ‘hidung harimau’ Kia, bersama bahagian valance yang digelapkan. Lampu hadapannya juga direka lebih tirus dari sebelum ini, serta dilengkapi lampu nyalaan siang LED empat poin.

Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

Lampu isyarat membelok pula diasingkan dari lampu utama dan diletakkan pada bahagian bampar, serta bahagian tersebut turut menempatkan tirai udara bagi memperbaiki aspek aerodinamik. Elemen rekaan lampu berkenaan turut dibawa ke bahagian belakang, di mana lampu isyarat membelok juga diletakkan pada bampar, manakala lampu utama yang tirus kelihatan bersambung antara kedua-dua belah menerusi panel kemasan pada penutup but.

Menurut Kia, bentuk seperti fastback ini bukan sahaja memainkan peranan dari segi rupa, malah ia juga memberikan ruang dalaman yang lebih luas. Secara keseluruhan, panjang Forte telah meningkat sebanyak 81 mm kepada 4,640 mm, membolehkan ruang kaki dibesarkan lagi serta ruang but direka dengan kapasiti 428 liter – antara yang terbesar dalam kelasnya.

Kereta ini juga kini 12.7 mm lebih tinggi (1,440 mm) membolehkan ruang kepalanya juga direka lebih luas, manakala lebarnya juga kini sudah bertambah dengan ukuran keseluruhan 1,798 mm.

Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

2019 Forte

Anda mungkin tidak perasan akan jarak lebar yang bertambah tersebut, namun jika dilihat pada rekaan papan pemuka baharu Kia Forte ini, pertambahan berkenaan boleh dilihat dengan nyata. Papan pemuka tersebut direka dengan elemen melintang, menempatkan liang penghawa dingin tirus pada bahagian tengah dan panel kawalan minimalis diletakkan di bawah, sementara skrin berdiri terletak diatasnya – membuatkan ia kelihatan seperti papan pemuka Mazda.

Kia mendakwa, bahagian dalaman Forte 2019 ini diberikan bahagian panel sentuhan-lembut yang lebih banyak dan ia direka agar memudahkan penumpang keluar dan masuk serta sudut penglihatan yang lebih baik.

Forte generasi sedia ada sudahpun direka dengan tegar membolehkan ianya menerima penarafan Top Safety Pick Plus dari Institut Insuran untuk Keselamatan Lebuhraya (IIHS), namun model generasi baharu ini dibina jauh lebih tegar dengan penggunaan komponen tempaan panas tambahan serta strukturnya mengandungi 54% keluli berketegaran tinggi termaju.

Tidak cukup dengan itu, kerangka tempat duduk model baharu ini juga direka lebih kuat dan ringan, menawarkan posisi duduk yang lebih selesa bersama sokongan lumbar yang lebih baik dan kusyen yang lebih tumpat. Forte baharu ini juga diberikan lampu LED sepenuhnya baharu yang disasarkan untuk mendapat penarafan yang baik dari Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) dan juga IIHS.

Badan yang lebih tegar bukan sahaja memberikan pengendalian dan keselamatan yang lebih baik, malah ia turut memainkan peranan yang besar dalam aspek NVH – secara keseluruhan, Forte 2019 ini 16% lebh tegar dari model sedia ada. Rekaan subframe baharu membolehkan tindak balas kereta ini ditingkatkan bersama respon stereng yang lebih baik, manakala geometri suspensi turut dirombak semula bagi memberikan perasaan pada pendikit dan stereng yang lebih bagus.

Kia Forte dijana enjin Nu 2.0 liter generasi kedua yang diberikan teknologi kitaran Atkinson dan sistem EGR dengan penyejuk. Enjin berkenaan dipadankan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau transmisi CVT baharu dari Kia yang digelar Intelligent Variable Transmission (IVT).

Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

2019 Forte

Ini merupakan pertama kali Kia memperkenalkan kotak gear CVT dan unit berkenaan direka sendiri oleh pengeluar berkenaan dan merupakan yang pertama dalam barisan janakuasa “Smart Stream” yang akan digunakan pada model-model akan datang. Berbanding transmisi CVT konvensional yang menggunakan tali sawat jenis push belt, IVT menggunakan tali sawat jenis-rantai untuk beroperasi serta kawalannya diurus oleh sistem logik tukaran adaptif.

Sistem baharu ini membolehkan ‘rubber-band feel’ pada transmisi CVT konvensional dilenyapkan, serta tukaran gear akan terasa seperti kotak gear AT biasa ketika pedal pendikit ditekan agresif dan pemandu memerlukan lebih pecutan, dakwa Kia. Jenama berkenaan turut menjelaskan IVT turut beroperasi dengan 5 dB lebih senyap dari CVT biasa kerana perumah transmisi tersebut telah ditebat bagi mengurangkan bunyinya.

Kuasa pada enjin baharu ini dijangka tidak berubah dari enjin sedia ada, dengan jumlah 147 hp/180 Nm. Kia lebih menumpukan terhadap faktor efisien dan janakuasa berkenaan dijangka mencatatkan penggunaan 14.9 km/l dalam situasi gabungan, atau 1.3 km/l lebih baik dari sebelumnya. Penarafan rasmi dari EPA akan diumumkan sebelum pelancaran Forte baharu berkenaan di Amerika Syarikat tahun ini.

Kia dedah Forte generasi baharu di Detroit – muka seperti Stinger, terima kotak gear CVT baharu

2019 Forte

Forte generasi baharu juga menawarkan sistem infotaimen yang membolehkan pemandu lebih menumpukan perhatian pada jalan raya ketika mengendalikannya. Oleh itu, ia diberikan skrin yang cukup luas bersaiz lapan-inci agar mudah dioperasi, dan turut disokong dengan fungsi Android Auto and Apple CarPlay.

Dengan telefon pintar terpilih sistem ini juga mampu untuk membaca pesanan pada SMS menggunakan Bluetooth 5. Pengguna-pengguna Android 7, Apple iPhone 8 dan iPhone X.8 pula boleh mengecas telefon pintar mereka tanpa menggunakan wayar, dengan hanya meletakkannya pada ruang storan yang ditetapkan.

Sistem infotaimen berkenaan dihubungkan kepada sistem bunyi premium 320-watt yang dibina bersama Harman Kardon. Alunan bunyi tersebut dihantar ke unit-unit pembesar suara yang direka dengan lubang yang unik, diletakkan pada panel pintu dan bahagian lain pada kabin.

Forte varian lebih tinggi akan menerima pakej bantuan pemanduan Kia digelar Advanced Driver Assistance Systems (ADAS). Selain dari Amaran Pelanggaran pada Titik Buta dan Bantuan Kekal Lorong, Kia Forte 2019 juga dibekalkan dengan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan serta Cruise Control pintar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required