Siapa boleh sangkal bahawa Mitsubishi Triton 2019 merupakan trak pikap paling handsome dalam pasaran sekarang? Dengan potensi yang begitu banyak untuk menjadi ia sebuah jentera yang lebih garang dan agresif, Mitsubishi telah mendedahkan model konsep yang digelar Triton Absolute di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019.

Berbeza dengan model biasa, Triton Absolute diberikan panel-panel sekeliling badan yang diperbuat dari bahan gentian karbon termasuk pada bahagian over fender, panel bawah pintu, dan juga bahagian bawah bampar hadapan. Scuff plate pada bampar berkenaan menerima kemasan perak dan merah, serta diberikan gril rekaan baharu dan juga pelindung tambahan pada perumah lampu kabus.

Selain dari panel-panel tambahan, bahagian sisi trak pikap ini juga diberikan rim aloi lebih lebar berwarna hitam, bersama tayar off-road ‘lipan’ Falken Wildpeak M/T 285/65R18. Turut dapat dilihat, angkup brek hadapan yang lebih besar diberikan dengan kemasan merah.

Manakala di belakang pula, pintu bed belakang logam asal turut digantikan dengan unit dari gentian karbon, menampilkan tulisan ‘Mitsubishi’ yang tenggelam. Bampar belakang juga ditukar dengan unit lebih rugged dalam kemasan perak bersama scuff plate berwarna merah.

Bumbung trak pikap ini juga menerima sentuhan lebih lasak menerusi pemadanan kemasan yang menempatkan lampu tambahan yang turut bersambung dengan rel bumbung serta sports bar pada bed belakang.

Menurut Mitsubishi, Triton Absolute ini menyerlahkan konsep “Absolutely Beyond Tough” menerusi “kekukuhan yang dibina” berdasarkan “dinamik trak” yang diilustrasikan oleh rekaan “lebih solid dan lebih lasak” serta “ketahanan mekanikal” trak pikap tersebut. Ia juga menunjukkan ketahanan kerangka Triton berkenaan dan membawa rekaan lasak dalam setiap suasana kehadirannya.

Tiada spesifikasi teknikal untuk sistem mekanikal Triton Absolute ini didedahkan. Namun berdasarkan radar pada cermin hadapan untuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengelak Pelanggaran Hadapan dan Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS), ia mungkin diasaskan dari model tertinggi Triton Adventure X.

Varian tersebut menerima enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Model baharu ini ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD, menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan.

Prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat menerusi mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L, dan juga fungsi Bantuan Menurun Bukit (HDC).

Walaupun ia kini hanyalah sebagai model konsep, masih ada peluang untuk menyaksikan Triton Absolute ini dihasilkan dalam bentuk produksi. Ini kerana menurut Mitsubishi, selama 12-bulan akan datang, trak pikap ini akan dipamerkan di pelbagai lokasi seluruh dunia bagi “menilai minat dan respon dari orang ramai”.