Honda Jazz terbaru kini sedang dipersiapkan untuk pengenalannya. Tapi, lama lagilah, bukan dalam masa terdekat – dijangka dalam tempoh dua tahun lagi baru muncul. Bagaimanapun, imej-imej awal Jazz berkenaan ketika diuji sudah mula kelihatan; dan nampaknya, ia mengenakan rekabentuk yang lebih agresif.

Walaupun dengan pelekat samaran yang digunakan pada model prototaip, masih dapat dilihat misalnya bahagian lampu utamanya lebih tinggi dan dipasangkan dengan projektor bersegi, mirip rekaan pada model dua generasi terawalnya dahulu. Bukaan masukan udara di depan juga lebih tirus, dan gril depan “Solid Wing Face” yang sinonim dengan kereta Honda kini dijangka akan dikekalkan.

Melihat kepada saiz tingkap kecil bahagian sisinya yang kini menjadi lebih besar, ia mencadangkan seperti cermin utama telah dianjakkan sedikit ke hadapan. Rekaan bahagian sisi juga diringkaskan, tiada kelihatan lagi garis bahu yang ketara.

Di belakang, lampu kini dalam tata letak melintang dalam dua bahagian; tiada lagi lampu belakang menegak seperti sekarang ini. Model ujian kedua yang dilihat juga mencadangkan akan ada pakej luaran off-road yang bersamaan dengan X-Road ketika ini – grilnya lebih besar, bampar depan dan belakang yang lebih besar, landasan pada bumbung, lanjutan lengkuk tayar dan kedudukannya yang lebih tinggi dari tanah.

Jazz mungkin akan terus dikuasakan oleh enjin petrol dan hibrid. Bagi sistem hibrid, ia mungkin akan gunakan unit yang sama seperti model Insight – enjin 1.5 liter dengan motor elektrik serta sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Ia akan menggantikan sistem Intelligent Dual Clutch Drive (i-DCD) yang digunakan ketika ini pada Jazz Hybrid.