Sebelum ini, Honda Malaysia pernah mempamerkan model CR-V Mugen Concept di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang berlangsung pada November lalu. Namun, kini sekali lagi model yang sama turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2019 yang sedang berlangsung di MAEPS, Serdang, sehingga Ahad ini.

Apa yang menariknya, kali ini, CR-V Mugen Concept menampilkan pakej Mugen yang lebih lengkap dengan rim aloi baharu 19-inci yang dibaluti tayar Continental 235/55. Berbanding CR-V Mugen Concept yang dipamerkan di KLIMS dengan rim aloi 18-inci sama seperti model standard CR-V yang masih berada dalam pasaran.

Lain-lain kit badan sports yang membaluti SUV generasi kelima ini termasuk tambahan kepada bahagian bawah bampar dan lencana Mugen di atas gril. Bahagian tepinya pula dipasang dengan panel tambahan yang sama dengan warna badan. Manakala di belakangnya pula terdapat lencana Mugen.

Model konsep dengan varian 1.5 liter Turbo ini tidak memberikan sebarang perubahan lain untuk bahagian mekanikalnya. Begitu juga dengan bahagian dalamannya yang masih sama seperti model standard. Namun jika ia sah dibawa masuk ke pasaran Malaysia, pastinya CR-V 1.5L Turbo Mugen ini mampu menarik perhatian ramai, apatah lagi dengan padanan warna Passion Red Pearl, yang pertama kali diperkenalkan pada HR-V RS facelift

Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dalam tiga varian yang menggunakan enjin 1.5 liter Turbo dengan harga masing-masing RM150,992, RM156,732 dan RM163,191 manakala varian yang menggunakan enjin 2.0 liter NA dijual pada harga RM138,308.