Proton Iriz dan Persona 2019 dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2019 hujung minggu ini

Proton Iriz dan Persona 2019 dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2019 hujung minggu ini

Proton turut mengambil kesempatan mempertontonkan model Iriz dan Persona facelift 2019 dalam penganjuran Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung hari ini hingga 14 April di MAEPS, Serdang. Malah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dengan diiringi Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton serta Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, berbesar hati untuk mendedahkannya bagi tatapan khalayak umum.

“Proton amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana berbesar hati memperkenalkan Proton Iriz dan Proton Persona 2019 ini di Pameran Auto Malaysia. Barisan jurutera dan pereka bentuk syarikat telah bekerja keras selama 18 bulan untuk menambahbaik kedua-dua model ini.

“Kami yakin bahawa pembeli kereta Malaysia akan dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha mereka apabila mereka melangkah masuk ke dalam setiap satu daripada kereta ini. Setakat ini, lebih 8,000 tempahan (untuk kedua-dua model ini) telah diterima dan kami percaya bahawa angka ini akan bertambah sebaik sahaja kereta tersebut mula dijual,” kata Dr Li Chunrong.

Bagi Iriz 2019, ia ditawarkan dengan lima varian – Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT. Ia juga masih kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.

Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.

Manakala bagi Persona 2019, ia menawarkan varian Standard 1.6 MT, Standard 1.6 CVT, Executive 1.6 dan 1.6 Premium. Ia masih mengekalkan enjin 1.6 liter VVT naturally-aspirated empat-silinder dengan hamburan kuasa 107 hp pada 5,750 rpm dan tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Ia menampilkan kotak gear CVT dan manual lima-kelajuan yang hanya untuk model Standard 1.6 MT. Namun Proton telah melakukan talaan semula pada enjin, kotak gear CVT dan brek bagi meningkatkan ekonomi bahan api, tahap kesenyapan dalam kabin dan juga kuasa membrek.

Untuk imej luaran dan dalaman yang lebih segar, Iriz dan Persona 2019 telah menerima sentuhan rekaan baharu, hasil kerjasama kumpulan reka bentuk Proton dan pereka-pereka dari studio rekan bentuk Geely lain di seluruh dunia. Antara ciri baharu yang ditampilkan termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang telah dipadankan pada gril hadapan serta bampar hadapan dan belakang baharu termasuk perkataan “Proton” dalam rekaan 3D melintang di tengah dan ternyata ia cukup menonjol.

Untuk bahagian dalamnya pula, antara elemen yang ditampilkan ialah padanan unit stereo pintar pada varian Premium 1.6AT, ciri pertama dalam kelasnya yang menggunakan kad eSIM untuk memastikan kereta tersebut kekal bersambung ke Internet. Turut ditawarkan adalah aplikasi bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara serta turut boleh diakses melalui skrin sentuh tujuh-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB. Pengguna telefon pintar Android juga akan dapat menikmati fungsi mirroring penuh melalui aplikasi sambungan yang mudah, membolehkan mereka mengakses data yang disimpan pada peranti mudah alih mereka.

Menurut Proton, secara keseluruhannya, sebanyak 367 penambahbaikan telah dilakukan terhadap Iriz 2019 ini, manakala untuk Persona 2019 pula, melibatkan 303 penambahbaikan pada pelbagai bahagian kereta tersebut. Difahamkan, kedua-dua model terbabit akan dilancarkan serentak bulan ini. Namun buat masa ini, harganya masih belum didedahkan. Nantikan perincian penuh mengenainya apabila ia dilancarkan kelak.

GALERI: Proton Iriz Premium 1.6L CVT 2019

GALERI:Proton Persona facelift 2019 1.6 CVT Premium

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required